ARKIB : 15/05/2001
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
UNTUNG nasib tiga pasukan dari
Perdana Dua, dua daripadanya berstatus kelab akan bergantung kepada tuah
gelanggang masing-masing apabila beraksi dalam suku akhir pusingan pertama bola
sepak Piala FA hari ini.
Malah, status selaku pasukan
Perdana Dua juga memisahkan mereka dari tekanan berat yang sudah tentunya tidak
begitu bagi pencabar masing-masing yang perlu mempertahankan harga diri selaku
wakil Perdana Satu.
Ini adalah kali pertama pasukan
kelab mara ke suku akhir Piala FA, lebih memberangsangkan apabila diwakili oleh
dua pasukan.
Sabah yang mengekori Johor FC
di tangga kedua Perdana Dua dan di depan JKR Kelantan, mengiringi mereka untuk
memecah monopoli lawan dari Perdana Satu.
Boleh dikatakan mereka membawa
bersama-sama harapan dari Perdana Dua yang mahu menyaksikan terdapat wakilnya
yang memboloskan diri ke separuh akhir, malah ke perlawanan akhir.
Johor FC dan JKR Kelantan turut
membawa bersama harapan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu melihat
pasukan kelab memecahkan dominasi pasukan negeri, sekali gus sebagai pembuka
langkah kepada senario baru bola sepak negara.
Harapan terbaik sudah tentu
kepada Johor FC yang tidak terkalah setakat ini. Kaliber mereka meningkat
apabila berjaya menyekat Terengganu daripada merangkul Piala FA buat tahun
kedua berturut-turut.
Johor FC menumpaskan Terengganu
dengan agregat 4-0 pada pusingan kedua Mac lepas, dan setakat ini masih menjadi
pasukan tunggal menumpaskan Terengganu yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam
saingan Perdana Satu untuk keluar sebagai pendahulu.
Namun, saingan anak buah Azuan
Zain malam ini ialah Sarawak, pasukan penuh taktikal yang dibimbing oleh Jalil
Ramli dan kini berada di tangga kelima Perdana Satu.
JKR Kelantan akan berdepan
dengan naib juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan, yang berada satu tangga di
bawah Sarawak.
Peluang JKR Kelantan mencipta
kejutan amat cerah memandangkan prestasi tidak menentu pasukan Jang sejak awal
liga dan gagal mencatat kemenangan daripada dua perlawanan terakhirnya.
Laluan Sabah nampak lebih
mudah. Lawan mereka, Perak sungguh pun bergelar penyandang juara Piala
Malaysia, tetapi hanya memenangi tiga dari sembilan kali beraksi dalam liga dan
berada di tangga kelapan Perdana Satu.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0515&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bb7cDfUM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan