Khamis, 30 Mac 2017

Perdana Satu tambah menarik



ARKIB : 31/03/2003
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

BIAR pun tanpa siaran secara langsung atau rakaman di rangkaian televisyen, Liga Perdana 2003 tetap menarik termasuk saingan yang berlangsung kelmarin.

Pastinya, perebutan tangga teratas liga semakin sengit dengan Perak kini menguasainya menerusi kemenangan 1-0 ke atas Sabah bagi mengumpul keseluruhan 18 mata selepas beraksi dalam lapan perlawanan.

Bagaimanapun, aksi kelmarin tanpa kelibat Perlis yang menduduki tangga ketiga dengan 13 mata tetapi ``Singa Utara'' masih berpeluang menggugat Perak kerana masih kurang dua perlawanan berbanding skuad ``seladang.''

Saingan kelmarin turut menyaksikan kemenangan besar 4-1 Pahang ke atas Johor FC untuk meletakkan skuad ``Tok Gajah'' di tangga kedua dengan 14 mata selepas beraksi dalam tujuh perlawanan.

Hasil jaringan Hairuddin Omar pada minit ke-5 dan 20, Cristiano Da Silva pada minit ke-45 dan Mohd. Fadzli Shaari pada minit ke-73 menyaksikan kebangkitan Pahang yang sebelum ini dikatakan mempamerkan aksi tidak begitu meyakinkan.

Lebih mengejutkan, pasukan tangga tercorot Terengganu mengalahkan juara Piala FA 2002 Pulau Pinang 2-1, sekali gus mencipta kemenangan pertamanya selepas beraksi enam perlawanan.

Namun, kemenangan tersebut tidak mengubah kedudukan Terengganu yang kini baru mengumpul tiga mata untuk terus menghuni tangga terbawah tetapi memberikannya keyakinan moral untuk menghadapi saingan akan datang.

Sekurang-kurangnya Terengganu berpeluang melonjak satu tangga untuk memintas Melaka yang mengumpul empat mata selepas beraksi dalam tujuh perlawanan.

Ini kerana Terengganu masih kurang satu perlawanan dibandingkan dengan Melaka dan hajat tersebut pasti boleh dicapai sekiranya skuad ``Penyu'' terus mencipta kemenangan.

Sarawak pula gagal mencari mata penuh di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Kedah untuk berkongsi 11 mata tetapi kelebihan jaringan meletakkan skuad ``Kenari'' di tangga kelima, satu tangga di hadapan `bujang senang.''

Begitu juga Kelantan yang kini mengumpul 11 mata di tangga ketujuh, semakin memberi cabaran dalam Liga Perdana Satu.

Kemenangan 1-0 ke atas Melaka kelmarin jelas dibantu jaringan sendiri ketua pasukan lawan, Azmil Azali untuk terus memberikan tekanan kepada ``Kancil'' yang sememangnya sudah bermasalah.

Keputusan Datuk Ibrahim Durum meletakkan jawatannya sebagai pengurus skuad Melaka baru-baru ini memberi gambaran betapa pasukan berkenaan kini seolah-olah kehilangan arah.

Ibrahim melepaskan jawatannya kerana kecewa dengan kekalahan berterusan Melaka pasti merasakan keputusannya tepat selepas pasukan berkenaan sekali lagi tewas kepada Kelantan kelmarin.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4co30fZHb
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan