ARKIB : 03/07/2001
Oleh JOHARI SHAWAL
SELEPAS Pestabola Merdeka 2001
meninggalkan pelbagai kenangan suka duka terutama bagi dua pasukan kebangsaan
negara, aksi liga tempatan yang terhenti seketika, kembali disambung malam ini.
Pusingan kedua Perdana Satu
harus kembali bertaut di hati para peminat tanah air sebagai penghilang kecewa
terhadap skuad negara di pentas antarabangsa.
Setelah sokongan diberi kepada
pasukan kebangsaan, kini sorakan terpisah kepada skuad negeri masing-masing.
Tentunya penyokong Terengganu
paling ceria ketika ini apabila melihat pasukan kesayangan mereka megah
bertakhta selaku pendahulu liga.
Apatah lagi habuan yang
diterima selaku juara pusingan pertama menaikkan lagi semangat skuad Penyu
untuk beraksi lebih cemerlang di padang.
Kelebihan empat mata di depan
pasukan tangga kedua, Pulau Pinang memberi sedikit keselesaan tetapi Penyu
tidak harus leka.
Pusingan kedua pasti berbeza
dan semua pasukan mempunyai tekad untuk meleburkan rekod bersih pasukan lawan.
Menjadi tugas Perak malam ini
untuk menggugat impian Terengganu apabila kedua-dua pasukan bertemu di Stadium
Perak, Ipoh.
Biarpun Perak ketinggalan 15
mata di belakang Terengganu, pengalaman beberapa pemainnya dalam Pestabola
Merdeka termasuk Ahmad Shahrul Azhar dan Khalid Jamlus mampu menenggelamkan
kehebatan Sapian Wahid dan Hairuddin Omar.
Tetapi pencabar Terengganu,
Pulau Pinang berdepan tugas getir apabila bertandang ke Shah Alam bertemu
Selangor yang baru segar dengan kejayaan merangkul Piala FA.
Apa lagi sebahagian besar
pemain Selangor baru menimba pengalaman dalam Pestabola Merdeka di gelanggang
keramat mereka.
Sarawak, yang tewas kepada
Selangor pada akhir Piala FA bulan lalu, bakal bermain di gelanggang berwajah
baru Melaka, Stadium Kubu tetapi pasukan Bujang Senang menjadi pilihan
berdasarkan kedudukan Melaka sendiri dalam liga.
Perlawanan Kuala Lumpur-Perlis
sekadar memastikan masing-masing tidak tercicir lebih jauh ke bawah manakala
Kelantan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengutip tiga mata apabila
melayan kunjungan Johor yang semakin diambang kejatuhan.
Apa pun, Perdana Satu
seharusnya menjadi pentas pemain untuk kembali meraih sokongan penonton yang
semakin tidak berminat dengan bola sepak negara, menerusi aksi-aksi terbaik dan
menghiburkan, setimpal dengan wang ringgit yang keluar dari saku mereka untuk
hadir ke stadium.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0703&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfsKFxh0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan