Selasa, 14 Mac 2017

22 pemain puas hati - Syarat kontrak yang ditetapkan Negeri Sembilan

ARKIB : 06/01/2001
Rata-rata mereka merasa gembira dengan tawaran diberikan kepada mereka dan dilihat tidak ada masalah yang timbul untuk mereka menyarung jersi skuad Rusa.

Malah mereka ditawarkan gaji yang lebih daripada apa diperoleh musim lalu berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh setiap pemain sebelum ini.

Setiausaha Kehormat PBNS, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan empat mata dengan semua pemain di Seremban semalam bagi membincangkan perkara itu dan persetujuan telah dicapai dalam suasana penuh harmoni.

Beliau bagaimanapun enggan memberitahu kadar bayaran gaji yang ditawarkan kepada setiap pemain.

Menurutnya, PBNS menetapkan syarat kontrak antara setahun hingga lima tahun kepada pemain terbabit dengan mengambil faktor usia dan prestasi mereka. "Kebanyakan pemain telah ditawarkan gaji yang lebih tinggi berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang musim lalu,'' katanya.

Negeri Sembilan berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun lalu tetapi kecundang kepada pasukan Perak 0-2.

Skuad Rusa dilihat memperkemaskan pasukannya yang lebih mantap pada musim ini dengan mengekalkan 18 pemain musim lalu dan diperkuatkan oleh empat pemain baru iaitu A. Ganeson, Zami Mohd. Noor, Nazzab Hidzan dan Yusafizan Johar.

Keharmonian yang terjalin di peringkat awal ini tanpa sebarang ketegangan dan masalah adalah petanda baik kepada pasukan Negeri Sembilan untuk mempertahankan reputasinya dan azamnya untuk merangkul Piala Malaysia musim ini.

Kesemua pemain akan menandatangani kontrak itu pada minggu depan selepas persetujuan dicapai dalam pertemuan tersebut.

Abdullah Sani bagaimanapun mengingatkan kepada setiap pemain mengenai kontrak itu bahawa pihak PBNS boleh mengambil tindakan tertentu ke atas mana-mana pemain yang tindak menunjukkan kesungguhan dan kurang menyerlah dalam mengharungi pertandingan kali ini.

Antara pemain musim lalu yang dikekalkan ialah Khairul Anuar Baharom, Azman Adnan, Mohd. Hamsani Ahmad, Efendi Abdul Malek, Mohd. Shukor Adan, Leong Hong Seng, Chow Chee Weng, Wong Sai Kong, Ching Hong Aik, K. Rajan dan M. Elango.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4bIpG9rO0

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan