Sabtu, 18 Mac 2017

Penyu lemas di Ipoh


 

ARKIB : 04/07/2001
PEMAIN Selangor, Yusri Che Lah berusaha melarikan bola ketika dikejar seorang pemain Pulau Pinang dalam aksi bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Shah Alam, semalam yang berkesudahan seri 1-1. - Gambar AZALEZAH MALEK.

PERAK bangkit pada lewat permainan sebelum mencatat kemenangan 2-1, sekali gus mencacatkan rekod cemerlang pendahulu liga, Terengganu pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Shahrulnizam Sahat membuka jaringan pasukan pelawat pada minit ke-65 tetapi penyerang Perak yang menaikkan kemarahan Karl Heinz Weigang, Mohd. Khalid Jamlus gara-gara ponteng latihan minggu lalu, menjaringkan kedua-dua gol pasukan tuan rumah minit ke-76 dan 89.

Keputusan itu memperbaiki kedudukan Perak di pertengahan liga tetapi merapatkan jurang mata antara Terengganu dengan beberapa pasukan di bawahnya.

Sementara itu di Stadium Shah Alam, Selangor terselamat daripada menanggung aib apabila mencatat keputusan seri 1-1 dengan Pulau Pinang.

Skuad Red Giants yang beraksi buruk di gelanggang sendiri, diselamatkan menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Rusdi Suparman.

Perlawanan dikuasai sepenuhnya oleh Pulau Pinang yang hampir mendapat gol pertama pada minit kelima tetapi sepakan Mohd. Fareed Shah terkena palang.

Peluang terbuka sekali lagi hadir buat skuad Harimau Kumbang apabila sepakan penalti diberikan setelah pertahanan Selangor, Asmawi Bakiri menjatuhkan Fareed tetapi sepakan R. Suresh Ku-mar diselamatkan penjaga gol, Azmin Azram Aziz minit ke-20.

Asakan Pulau Pinang akhirnya mendatangkan hasil pada minit ke-27 setelah sepakan percuma Mohd. Aiman Wong dari sebelah kiri terkena Shamsul Amri Abu Bakar sebelum bola bergolek masuk.

Selangor walaupun mempersembahkan permainan membosankan namun berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi satu-satunya peluang yang mereka cipta menerusi Rusdi yang mendapat bola dari tandukan Yusri Che Lah dalam kotak penalti hasil hantaran jauh pemain pertahanan, Khairon Haled Masrom minit ke-77.

Sementara itu di Sta-dium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, jaringan tunggal minit ke-37 oleh Zami Mohd. Noor memberikan kemenangan 1-0 Negeri Sembilan ke atas Pahang.

Gol berpunca daripada hantaran Affendi Malek yang berjaya melepasi dua pertahanan Pahang dan meleretkan bola kepada Zami yang menewaskan penjaga gol Pahang, Azrul Hisyam Mohd. Yusoff.

Di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga menerusi kemenangan 3-1 ke atas Johor.

Anuar Abu Bakar menanduk masuk gol pertama minit ke-32 setelah menerima hantaran Tuan Kamree Tuan Yahya dari sebelah kanan pintu gol Johor yang gagal diselamatkan oleh Othman Katmon.

Kelantan yang menguasai babak pertama menambah jaringan sekali lagi menerusi Anuar minit ke-45 hasil tendangan sudut Tuan Kamree.

Johor merapatkan jurang menerusi tendangan penalti minit ke-70 Mohd. Jamil Ismail sebelum Fatrurazi Rozi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-77.

Di Stadium KLFA, Cheras, Kuala Lumpur sekadar mencatat seri 1-1 dengan Perlis.

Pasukan tuan rumah ketinggalan menerusi jaringan penalti minit ke-37 oleh Rozmin Musa sebelum Rosle Derus memastikan satu mata diraih Kuala Lumpur apabila menyamakan kedudukan minit ke-90.

Melaka bernasib baik apabila mencatat keputusan seri 2-2 dengan Sarawak di Stadium Kubu. Sarawak mendahului dua kali menerusi Ramles Sari pada minit ke-27 dan 68 tetapi berjaya disa-makan oleh Rashid Mahmod pada minit ke-34 dan M. Gopalan minit ke-84.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bfvxs81q

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan