Ahad, 19 Mac 2017

Bola sepak Perdana Dua musim 2002 - Tiga pasukan diketepikan

ARKIB : 23/12/2001
Oleh Johari Shawal
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam membuat keputusan membatalkan penyertaan JKR Kelantan dan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) dari Perdana Dua serta menggantung sembilan pasukan dari Piala FAM untuk kempen Liga Malaysia musim depan.

Kelab Syarikat Air Johor Holdings (SAJH), yang layak ke Perdana Dua musim depan tetapi menarik diri akibat masalah kewangan, turut digantung dua tahun.

Sembilan pasukan dari Piala FAM yang turut digantung dua tahun ialah Terengganu KUMB, Perak Lintau, NS Betaria, Polis Bersatu, KL Petronas, Terengganu Zaaba, JPS Kelantan, Pulau Pinang Intel dan Suruhanjaya Pulau Pinang.

Kedah Ansell yang turut beraksi dalam Piala FAM, turut dibatalkan penyertaan.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis FAM yang bersidang di Kuala Lumpur semalam dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir timbalan beliau, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dalam sidang akhbar berkata, JKR Kelantan dan SKMK serta Kedah Ansell dibatalkan akibat masalah teknikal dan tidak mengikut syarat pendaftaran.

``Pasukan yang digantung adalah kerana mereka menarik diri daripada liga. Keputusan ini dibuat berdasarkan cadangan daripada persatuan masing-masing kepada FAM,'' katanya yang mengadakan sidang media bersama Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan.

Menurut Raja Ahmad, pasukan yang dibatalkan dan digantung tidak dibenarkan beraksi dalam mana-mana pertandingan anjuran FAM dalam tempoh yang ditetapkan.

Keputusan itu, terutama membatalkan penyertaan JKR Kelantan, sudah dijangka dari awal selepas kelab berkenaan menghadapi pelbagai masalah kewangan sehingga membabitkan gaji pemain.

Bagaimanapun Raja Ahmad berkata, ia tiada kaitan dengan masalah yang melanda JKR Kelantan tetapi lebih disebabkan masalah teknikal.

Begitupun beliau mengakui kebanyakan pasukan yang menarik diri disebabkan kedudukan kewangan masing-masing.

``Mereka boleh membuat rayuan kepada FAM terutama bagi pasukan yang dibatalkan penyertaannya,'' tambahnya.

Perkara lain yang diputuskan pada mesyuarat berkenaan ialah:

¥ FAM bersetuju menambah bantuan daripada RM200,000 kepada RM400,000 untuk dua kelab, Johor FC dan NS Chempaka yang beraksi dalam Perdana Satu tahun depan.

¥ Perlawanan Sumbangsih antara Terengganu dengan Selangor sah dilangsungkan pada 19 Januari di Kuala Terengganu.

¥ Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan AFC Bawah 20 Tahun yang melibatkan Macau, Kemboja dan Vietnam yang dijadual pada April/Mei 2002.

¥ Futsal tidak membabitkan pemain Liga Malaysia tetapi menggalakkan penyertaan pemain import. Promosinya akan terus diperluaskan ke sekolah-sekolah.

¥ FAM terus melaksanakan usaha menghantar pemain berlatih di luar negara dan sedang mengenal pasti pemain yang layak.

¥ Persatuan negeri harus berhati-hati memilih pemain yang benar-benar layak sebelum mengikat kontrak termasuk memastikan setiap pemain lulus ujian kecergasan dan mendapat lesen yang dikeluarkan oleh FAM.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bq4OGVae

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan