ARKIB : 16/03/2003
KEJUTAN berlaku dalam saingan
bola sepak Liga Perdana Satu apabila dua pasukan juara musim 2002, Pulau Pinang
dan Selangor masing-masing tewas mengejut kepada skuad bukan pilihan semalam.
Di Kota Bharu, juara Piala FA
2002 Pulau Pinang yang juga pendahulu liga tewas 3-2 kepada Kelantan dalam
saingan di Stadium Sultan Mohamed IV.
Kelantan yang mencipta
kemenangan sulung menghasilkan jaringan menerusi Mohd. Hardi Ahmad pada minit
ke-3, Adamec Martin pada minit ke-51 dan jaringan sendiri Wan Rohaimi Wan
Ismail pada minit ke-54.
Pulau Pinang pula memperoleh
gol menerusi Chee Wan Hoe pada minit ke-9 dan Ng Kok Heng pada minit ke-64.
Kekalahan tersebut menyaksikan
Perak yang menang 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin
Shah memintas kedudukan Pulau Pinang sebagai pendahulu.
Jaringan Yusri Che Lah pada
minit ke-50 menyaksikan Perak mengumpul keseluruhan 11 mata, satu mata di depan
Pulau Pinang.
Terengganu masih gagal mencari
kemenangan pertama dalam kempen musim ini selepas tiga perlawanan yang
menyaksikan skuad Penyu terus berada di tangga tercorot liga.
Sarawak turut mencipta kejutan
apabila menewaskan juara Piala Malaysia 2002 Selangor 3-2 dalam perlawanan di
Stadium Sarawak, Kuching, semalam.
Gol Sarawak dijaringkan Gilbert
Cassidy Gawing pada minit ke-4, Abang Zafari Abang Osman pada minit ke-8 dan
Ramles Sari pada minit ke-33.
Pasukan pelawat pula memperoleh
gol menerusi Nor Suhaimi Baharuddin pada minit ke-44 dan Nizam Jamil pada minit
ke-54.
Di Stadium Utama, Kangar,
sekali lagi Phillemon Chipieta melegakan penyokong tuan rumah apabila
jaringannya pada minit ke-2 dan ke-3 memastikan Singa Utara menang 2-1 ke atas
Johor FC.
Johor FC cuba menyamakan
kedudukan tetapi jaringan Jonathan Angeluci pada minit ke-66 gagal untuk
membantu pasukannya membawa pulang mata.
Di Stadium Hang Tuah, Melaka
bertambah malang apabila tewas 2-1 kepada pasukan kelab Telekom Melaka.
Arfandy Lokman menjaringkan gol
minit ke-26 dan Isaac Kuffour pula memperoleh jaringan minit ke-68 untuk
mengaibkan Melaka yang hanya mampu menghasilkan jaringan tunggal Md. Sufiyan
Samsu Bahari pada minit ke-56.
Kekalahan Melaka meletakkan
mereka di tangga kedua terbawah.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, Pahang gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri
selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cjAMEISu
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan