Selasa, 18 April 2017

Public Bank kekal teratas

ARKIB : 25/04/2004
PUBLIC BANK SELANGOR yang bermain 10 orang dalam tempoh 70 minit perlawanan, masih mampu mencatat kemenangan untuk terus menguasai tangga teratas bola sepak Liga Super selepas mengatasi Perlis 2-0 dalam aksi di Stadium Shah Alam, semalam.
Pasukan E. Evalarasan kehilangan ketua pasukan, A. Ganeson pada minit ke-24 selepas diperintah keluar padang kerana mengasari Lamin Conteh Jr. tetapi dua gol jaringan Gustavo Fuentes pada minit ke-33 dan sepakan penalti minit 83 memberi tiga mata penuh buat Public Bank.
Mereka kini mengumpul 13 mata selepas enam perlawanan tetapi hanya satu mata di depan Pahang yang turut menang di Kuantan.
Skuad Tok Gajah terus mengecewakan pasukan tangga terbawah, Kedah dengan kemenangan 4-3 di Stadium Darul Makmur untuk kekal di tangga kedua liga dengan 12 mata.
Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan menerusi Marcos Magno seawal minit kelima tetapi pemain import Pahang, Anthony Milicic menyamakan kedudukan lima minit kemudian.
Begitupun, Kedah kembali meletakkan pasukan di depan dengan gol kedua menerusi penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli tiga minit selepas babak kedua bermula.
Tok Gajah menggandakan asakan untuk kembali mencari gol penyamaan dan memperoleh dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Lucas pada minit ke-54 dan Hairuddin Omar seminit kemudian untuk kedudukan 3-2.
Fadzli Saari melegakan kem pasukan Pahang dengan gol keempat pada minit ke-68 sebelum Magno sekali lagi menemui sentuhan untuk gol ketiga Kedah pada minit ke-75.
Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah menundukkan Sabah 2-0, kemenangan kedua skuad Seladang selepas lima perlawanan.
Ricardo Silva dan Frank Seator muncul wira Perak apabila menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-25 dan 71.
Kemenangan itu meletakkan Perak di tangga ketiga dengan sembilan mata untuk memintas Sabah menerusi kelebihan perbezaan jumlah gol.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang gagal melebarkan kedudukan selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Sarawak.
Satu kad merah dilayangkan dalam perlawanan itu ke atas pemain Sarawak, Mohd. Fadly Kassim kerana mengasai pemain Pulau Pinang, Cristian Teador.
Sementara itu dalam aksi Liga Perdana, rekod tanpa kalah pendahulu liga Kumpulan B, Johor akhirnya lebur apabila tewas 3-1 kepada Terengganu di gelanggang sendiri.
MK Land menewaskan SKM Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu manakala Telekom Melaka menang 2-0 ke atas Brunei di Stadium Hang Tuah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan