Ahad, 9 April 2017

Saingan tiga pusingan 2004 -- Liga Super, Perdana lebih kompetitif



ARKIB : 12/01/2004

BAGI menjadikan persaingan Liga Super dan Perdana lebih kompetitif, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan perlawanan tiga pusingan mulai tahun ini.

Perlawanan tiga pusingan itu merupakan salah satu daripada beberapa perubahan yang diputuskan oleh FAM menjelang perlawanan sulung Liga Super 14 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, setiap pasukan akan melalui tiga perlawanan iaitu di tempat sendiri, di gelanggang lawan dan di tempat yang akan ditentukan menerusi undian.

``Peraturan baru ini akan menjadikan persaingan bagi kedua-dua liga lebih sengit dan mengelakkan pakatan serta perlawanan ditentukan oleh sesebuah pasukan tertentu yang mempunyai kepentingan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat pegawai-pegawai Pasukan Liga Super dan Liga Perdana 2004 di Kuala Lumpur, semalam.

Sebanyak lapan pasukan iaitu Perak, Kedah, Perlis, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Public Bank Selangor akan menyertai Liga Super yang diperkenalkan tahun ini dan 18 beraksi dalam Liga Perdana.

Manual FAM menyebut perlawanan Liga Super akan dijalankan secara tiga pusingan dan pasukan yang mendapat mata tertinggi akan diistiharkan sebagai johan Liga Super 2004.

Perlawanan pusingan ketiga akan diputuskan menerusi undian untuk menentukan pasukan tuan rumah dan kutipan tiket bagi perlawanan tersebut akan dibahagikan sama rata dengan pasukan pelawat setelah ditolak levi dan duti hiburan.

Selain daripada itu Redzuan berkata, FAM juga memperkenalkan peraturan baru iaitu jaringan perak bagi menggantikan jaringan emas yang dilaksanakan dalam pertandingan kalah mati.

Menurut peraturan itu, sekiranya setelah tamat perlawanan 90 minit pemenang masih tidak dapat ditentukan, perlawanan tambahan selama 15 minit akan dilangsungkan.

Walaupun ada pasukan yang dapat menjaringkan gol di awal perlawanan tambahan itu, ia akan terus dilangsungkan sehingga tamat tempoh 15 minit itu.

Tetapi sekiranya keputusan masih seri iaitu sama ada kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol atau sama-sama berjaya mendapat gol, perlawanan tambahan separuh masa kedua akan berlangsung selama 15 minit lagi.

Sekiranya kedua-dua pasukan masih terikat dengan keputusan seri barulah penentuan pemenang dibuat menerusi sepakan penalti.

FAM juga memutuskan bahawa perlawanan yang ditunda atau dihentikan akan dilangsungkan pada keesokkan harinya di tempat yang sama dan pada masa yang ditetapkan oleh pasukan tuan rumah.

Sekiranya berlaku, pasukan tuan rumah dikehendaki menanggung perbelanjaan makan, penginapan dan kenderaan tempatan bagi tidak lebih daripada 25 anggota pasukan pelawat untuk perlawanan pada keesokan harinya.

``Kami juga akan menulis di dalam tiket perlawanan bahawa penonton tidak boleh membuat tuntutan wang sekiranya perlawanan terpaksa dihentikan dan diadakan pada hari berikutnya,'' ujar Redzuan.

Perkara-perkara lain yang diputuskan termasuklah membenarkan penyenaraian empat pemain import bagi setiap pasukan tetapi hanya tiga saja yang boleh diturunkan bagi satu-satu perlawanan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djsgcdNr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan