Ahad, 29 Januari 2017

Johor DT fokus ACL

 
AKSI Johor DT ketika menentang FELDA United.
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) perlu melupakan seketika kerancakan Liga Super bagi memberikan tumpuan terhadap pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Bangkok United di Stadium Thammasat di wilayah Pathum Thani, malam esok.

Walaupun skuad kendalian Benjamin Mora berdepan ranjau berliku kerana kelab dari Thailand itu memiliki reputasi hebat pernah beraksi pada saingan ACL musim 2007, tidak mustahil bagi Harimau Selatan melakar kejutan jika beraksi konsisten tanpa mempedulikan reputasi skuad kendalian Alexandre Polking.


Malah musim lalu, Muangthong United dipaksa bermandi peluh sebelum layak ke saingan play-off selepas hanya menang menerusi penentuan sepakan penalti 3-0 untuk menjinakkan Harimau Selatan yang ketika itu dibimbing Mario Gomez.

Kini, tugas Mora untuk merealisasikan impian menggunung Johor DT mara lebih jauh dan seandainya misi kemenangan membuahkan hasil, pasukan itu akan berdepan kelab Liga Jepun (Liga J), Gamba Osaka pada aksi play-off di Stadium Saita, Jepun, pada 7 Februari ini.

“Dalam bola sepak tidak mustahil anda mampu melakar kejutan dan saya tahu berdepan Bangkok United yang berpengalaman luas dan beraksi di gelanggang lawan sememangnya sukar namun jika kami kekal konsisten dan pemain menerap taktikal, kami mungkin akan raih keputusan positif.

“Kemenangan 3-1 ke atas FELDA United baru-baru ini meningkatkan moral pemain dan mereka bagaikan dahagakan keputusan positif malah ia mencetus semangat buat saya dan kejurulatihan Johor DT membentuk barisan lebih mantap berdepan kelab Thailand itu.

“Bagi menyiapkan kesebelasan yang akan diturunkan, kami melihat rakaman video permainan Bangkok United dan mengesan kelemahan serta kekuatan pasukan itu sekali gus memberi ruang kepada saya menerapkan taktikal ampuh nanti,” ujarnya.

Mora juga tidak menolak kemungkinan menurunkan pemain muda pada aksi itu sambil menyifatkan kelibat Safawi Rasid dan Afiq Fazail menunjukkan prestasi memberangsangkan ketika menentang FELDA United, baru-baru ini.

Malah katanya, aksi pramusim Johor DT di Thailand, awal musim ini nyata beri pendedahan terbaik buat pemain mendapat pendedahan bagi mengenali corak permainan pemain dari Negara Gajah Putih itu.

“Pemain juga memberi maklum balas kepada saya mengenai corak persembahan pemain Thailand selain menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana.

“Malah maklumat yang diberikan pemain amat penting buat saya membentuk corak permainan yang akan dipraktikkan nanti,” jelas Mora.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 6:07 AM








Tiada ulasan:

Catat Ulasan