BARISAN pemain TRW memperagakan jersi baru di Majlis Pengenalan Konsortium Penaja Al Hamra Dan Pelancaran Jersi TRW 2017 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) Kota Bharu.
Azlan Hafeedz
sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kelantan tidak meletakkan sasaran memenangi sebarang piala musim ini, sebaliknya hanya mahu terus kekal dalam Liga Super 2018.
Kenyataan itu diakui sendiri Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berikutan pasukan itu terpaksa melakukan persiapan saat akhir selepas berdepan pelbagai kemelut.
Annuar berkata, beliau dan pihak KAFA enggan berjanji untuk membawa pulang sebarang piala, sebaliknya, mahu kekal dalam 10 kelompok pasukan terbaik Liga Super, musim depan.
Beliau bagaimanapun berkata, Kelantan akan menjadi pasukan terbaik dalam sejarah bola sepak negara, musim depan apabila bakal membawa beberapa pemain ternama.
“Kami buat (musim ini) semuanya ‘last minute’ termasuk beli dua import dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas dua import terawal disingkirkan.
“Apapun, kami akan bermain tanpa sebarang tekanan dan itu memudahkan pemain untuk fokus terhadap permainan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena majlis Pelancaran Jersi The Red Warriors (TRW) 2017 dan Pengenalan Konsortium Penaja Al Hamra di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre, di sini, semalam.
Turut hadir, Pemangku Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah; Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan barisan jawatankuasa tertinggi KAFA termasuk kira-kira 1,000 penyokong setia TRW.
Konsortium Al Hamra yang ditubuhkan 14 Januari lalu disertai tujuh syarikat - Al Hamra, RedONE, ChengalJati, E-Mutiara Konsortium Ekspres, MOCCIS Furniture, Skin Glow Glowing dan Yakult (M) Sdn Bhd yang bersetuju menaja Kelantan kira-kira RM10 juta termasuk RM3 juta bon jaminan.
Yakult yang terkenal dengan minuman kultur diwakili sendiri Pengarah Urusan Hiroshi Hamada dan syarikat itu menjadi penaja asing pertama menaja Kelantan.
Pelancaran jersi baru itu diperagakan secara rasmi oleh pemain Kelantan dengan mengekalkan jersi gelanggang sendiri dengan warna merah manakala di tempat lawan, biru dan oren.
Dalam perkembangan berkaitan, Annuar mampu menarik nafas lega apabila dua import terbaharu, Mamadou Danso, 33 dari Gambia dan Alessandro Padovani Celin, 27 (Brazil) memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dari kelab masing-masing.
“Bekas pemain Kelantan, S Subramaniam yang beraksi bersama Selangor musim lalu, turut mengesahkan untuk menyarung jersi TRW.
“Setakat ini, kami berpuas hati dengan keseluruhan senarai pemain dan berharap perlawanan sulung menentang Melaka United FA, malam esok (hari ini) akan membawa tuah,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan