21 Januari 2017 1:33 AM
Penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim menangkap bola tendangan pemain Negeri Sembilan, Simic Marko (kiri) dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam. - FotoBERNAMA
KUALA LUMPUR 20 Jan. – Bruno Suzuki muncul wira Negeri Sembilan apabila meledak hatrik ketika membantu pasukannya menewaskan Sabah 3-0 dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.
Penyerang kelahiran Brazil itu tidak menunggu lama untuk meletakkan skuad bimbingan Mohd. Asri Ninggal di depan seawal minit ke-15 sebelum menambah dua lagi jaringan pada minit ke-25 dan minit ke-39.
Kemenangan membolehkan skuad Jang muncul pendahulu pertama dalam perlawanan pembuka tirai Liga Perdana.
Dalam pada itu, Kuala Lumpur memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila menundukkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang
Pasukan pelawat, yang dibimbing Mohd. Hamzani Omar bagaimanapun terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain Argentina, Nicholas Fernandez Alberto seawal minit kelima.
Bobirjon Akbarov berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20, sebelum Ibrahim Syaihul memastikan kemenangan tuan rumah di minit ke-30.
Sementara itu, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) menewaskan pendatang baharu Liga Perdana, MISC-MIFA 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Di Stadium Tunku Syed Putra, Kangar pula Perlis terpaksa menunggu di saat akhir untuk mencuri satu mata selepas seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Gol ATM hadir menerusi Mohd. Rafizol Roslan pada minit ke-37 manakala gol penyamaan Perlis dijaringkan Muhd. Zafuan Azeman.
Aksi melibatkan Terengganu dan PKNP FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin terpaksa dihentikan akibat padang ditakungi air manakala perlawanan Kuantan FA menentang UiTM FC di Stadium Darul Makmur terpaksa ditunda ekoran hujan lebat
SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hatrik-suzuki-julang-skuad-jang-1.434196#sthash.kvduHW4E.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan