ARKIB : 23/05/2009
KUALA LUMPUR - Johor membuka
tirai pusingan kedua Liga Perdana dengan langkah kiri apabila tewas mengejut
0-1 kepada Shahzan Muda pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan,
semalam.
Kekalahan itu sekali gus
menyaksikan kedudukan mereka selaku pencabar utama pendahulu liga, Harimau
Muda, kini semakin terjejas.
Gol kemenangan Shahzan
dijaringkan Jalaluddin Jaafar menerusi sepakan penalti pada minit ke-46 selepas
Azizul Kamaluddin dikasari Mohd. Rizal Roslan dalam kotak penalti.
Kegagalan Johor itu membolehkan
Harimau Muda terus menjarakkan kedudukan dengan kelebihan sembilan mata selepas
skuad bawah 19 negara itu menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di
Stadium Selayang.
Gol-gol Harimau Muda dijaringkan
Yusaini Hafiz Che Saad (m-36), Ahmad Shakir Mohd. Ali (m-63) dan K. Gurusamy
Govandar (m-72).
T. Team pula melepaskan peluang
untuk memintas Johor di tangga kedua liga selepas hanya mampu seri 0-0 dengan
Melaka di Stadium Hang Jebat.
Harimau Muda kini mengumpul 40
mata daripada 14 perlawanan diikuti Johor 31 mata (13 perlawanan) dan T. Team
29 mata.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XvKKvNFs
© Utusan Melayu (M) Bhd