ARKIB : 29/04/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA - Kembalinya aksi pemain import, Liga
Super tidak lebih daripada 12 pasukan dan geran penajaan yang berdasarkan
prestasi liga, mampu lebih mewarnai dan menyuntik kehebatan Liga Malaysia musim
depan, menurut kaca mata Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL), semalam.
Malah tanggungjawab menguruskan Liga M mahupun
pasukan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi, bakal diserahkan kepada sebuah
entiti profesional dan komersial yang berasingan sekali gus melepaskannya
daripada bahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan persatuan bola sepak
negeri (FA).
Kerinduan kepada aksi pemain import sejak 2009 pula
turut akan terubat sekiranya saranan jawatankuasa ini direstui Majlis FAM,
tidak lama lagi dengan setiap pasukan cuma dibenarkan memiliki sehingga tiga
orang namun salah satu daripadanya mestilah yang berasal dari Asia Tenggara.
Pengerusi MSL, Tan Sri Annuar Musa berkata di Wisma
FAM, Kelana Jaya: "Kami melihat kemasukan semula pemain import mampu
menyumbangkan salah satu nilai tambah kepada mutu liga bola sepak kita selagi
tahap permainan mereka didapati lebih baik daripada pemain tempatan.
"Ia juga membuka peluang pemain tempatan
bersaing semula mahupun berganding bahu lantas menimba pengalaman dengan pemain
import yang lebih baik daripada mereka," katanya yang juga Timbalan
Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu.
Mengenai saranan pengurangan pasukan Liga Super
daripada 14 seperti sekarang, katanya: "Kita perlukan kualiti liga kerana
tiada maknanya jika ia ditandingi lebih 12 pasukan tetapi sering berlakunya
jurang perbezaan gol yang besar dan keputusan perlawanan yang tidak seimbang.
"Geran penajaan tahunan kepada setiap pasukan
atau persatuan negeri pula dicadangkan berdasarkan prestasi mereka dalam liga
kerana kita tidak mahu lagi pihak ini menganggap mereka sudah dijamin wang yang
mudah atau seperti mendapat 'derma' hasil tanggungjawab sosial korporat (CSR).
"Skalanya kepada setiap penerima mesti berbeza
atau dengan kriteria dan tanda aras tertentu namun mulai musim depan, pasukan
tuan rumah yang perlawanannya disiarkan secara langsung menerusi TV juga bakal
menikmati yuran kemunculan sebanyak RM30,000 sebagai geran bantuan tambahan
daripada MSL," jelasnya.
Berhubung peralihan tugas menguruskan liga dan
pasukan daripada FAM dan FA negeri termasuk tanpa melibatkan jawatankuasa
pertandingan tempatan lagi, katanya: "Ia adalah untuk mendapat
pengiktirafan liga profesional sepenuhnya daripada Persekutuan Bola Sepak Asia
(AFC) sekali gus melayakkan kita bermain dalam Liga Juara-Juara Asia
(ACL)."
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5e96HGDsk
© Utusan Melayu (M) Bhd