Ahad, 25 November 2018

Shahzan Muda kejutkan Johor


ARKIB : 23/05/2009
KUALA LUMPUR - Johor membuka tirai pusingan kedua Liga Perdana dengan langkah kiri apabila tewas mengejut 0-1 kepada Shahzan Muda pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan kedudukan mereka selaku pencabar utama pendahulu liga, Harimau Muda, kini semakin terjejas.

Gol kemenangan Shahzan dijaringkan Jalaluddin Jaafar menerusi sepakan penalti pada minit ke-46 selepas Azizul Kamaluddin dikasari Mohd. Rizal Roslan dalam kotak penalti.

Kegagalan Johor itu membolehkan Harimau Muda terus menjarakkan kedudukan dengan kelebihan sembilan mata selepas skuad bawah 19 negara itu menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium Selayang.

Gol-gol Harimau Muda dijaringkan Yusaini Hafiz Che Saad (m-36), Ahmad Shakir Mohd. Ali (m-63) dan K. Gurusamy Govandar (m-72).

T. Team pula melepaskan peluang untuk memintas Johor di tangga kedua liga selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Melaka di Stadium Hang Jebat.

Harimau Muda kini mengumpul 40 mata daripada 14 perlawanan diikuti Johor 31 mata (13 perlawanan) dan T. Team 29 mata.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XvKKvNFs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 10 Mei 2018

PENJARING TEMPATAN LIGA SUPER SELEPAS PERLAWANAN KE-9

OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
TIGA GOL
Natxo Insa       Johor Darul Ta'zim    
Safawi Rasid   Johor Darul Ta'zim
DUA GOL    
Syazwan Zainon         Kedah 
Nik Akif Syahiran      Kelantan        
Shafiq Shaharudin      Kelantan        
Indra Putra      Kuala Lumpur
N. Thanabalan Negeri Sembilan        
Faisal Halim   Pahang
Hafiz Ramdan PKNP 
Mahali Jasuli  PKNS 
Safee Sali        PKNS 
Syahmi Safari Selangor         
J. Partiban       Terengganu    
SATU GOL
Corbin-Ong     Johor Darul Ta'zim    
Fadhli Shas     Johor Darul Ta'zim    
Hazwan Bakri Johor Darul Ta'zim    
Nazmi Faiz     Johor Darul Ta'zim    
Safiq Rahim    Johor Darul Ta'zim
Akhyar Rashid            Kedah 
Akram Mahinan         Kedah 
Ariff Farhan    Kedah 
Baddrol Bakhtiar        Kedah 
Nik Azli          Kelantan        
Ashri Chuchu  Kuala Lumpur
Zaquan Adha  Kuala Lumpur
Zhafri Yahya   Kuala Lumpur
R. Gopinathan Melaka United
Fakrul Aiman  Negeri Sembilan        
Nor Azam Azih          Pahang
R. Kogileswaran         Pahang
Kenny Pallraj  Perak  
Nasir Basharudin        Perak  
Nazirul Naim  Perak  
Norhakim Hassan       Perak  
Irwan Syazmin           PKNP 
Muhammad Safar       PKNP 
Shahrel Fikri   PKNP 
Nurridzuan Abu Hassan         PKNS 
Qayyum Marjoni        PKNS 
Amri Yahyah  Selangor
Sean Eugene Selvaraj Selangor         
Ashari Samsudin        Terengganu    
Shahrul Aizad Terengganu    

Ahad, 18 Mac 2018

Annuar diberi surat penjelasan, hukuman Reduan dikurang


ARKIB : 03/04/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA - Reduan Abdullah mungkin mampu menarik nafas lega sedikit tetapi Tan Sri Annuar Musa berada di ambang bahaya, gara-gara kenyataan akhbar selepas dua jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersidang di Wisma FAM, semalam.

Jawatankuasa Rayuan FAM mengurangkan penggantungan setahun ke atas Reduan, jurulatih kelab Felda United kepada tiga bulan manakala Annuar, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berdepan kemungkinan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas mengkritik pengadil perlawanan Liga Super, Selasa lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Reduan bakal kembali menyandang tugasnya mulai Mei ini memandangkan dia sudah menjalani penggantungan asal daripada aktiviti bola sepak yang dijatuhkan pada 26 Februari itu selama sebulan, berdasarkan hukuman minimum menurut Peraturan Tatatertib FAM.

Bekas pemain Selangor dan Malaysia pada era 70-an hingga 80-an itu mulanya digantung setahun kerana kenyataan akhbarnya pada 20 Februari lalu tanpa kebenaran FAM mengenai ujian kecergasan pemain dalam Liga Malaysia dan dikeluarkan dengan fakta yang didapati tidak tepat.

"Surat menggesa penjelasan Tan Sri Annuar berhubung kenyataan akhbar (menyalahkan pengadil perlawanan Kelantan-Negeri Sembilan, Shokri Nor, sebagai punca kelakuan ganas penyokong Wira Merah) pula dikeluarkan hari ini (semalam) dan beliau diberikan tempoh seminggu untuk menjawabnya," kata Azzuddin.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan, C. Gnanarajah berkata, hukuman diringankan berdasarkan rekod bersih Reduan sebagai pemain dan jurulatih sebelum ini.

"Jawatankuasa Rayuan bagaimanapun mengekalkan penggantungan asal empat perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib ke atas jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim," katanya.

Turut dikekalkan hukuman ialah Polis Diraja Malaysia yang didenda RM10,000.

Terdahulu Jawatankuasa Tatatertib menggantung pemain PKNS, Zawawi Ramli selama tiga bulan dan mendenda RM300; Faizal Nasir (Melaka) dengan tiga perlawanan dan denda RM400 serta Faris Azlan Mat Isa (Sabah) dengan tiga perlawanan dan denda RM750 atas perlakuan atas padang dalam perlawanan Piala Presiden di Petaling Jaya dan Melaka pada 12 dan 16 Mac lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5A79QrfGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Penyerang jadi tumpuan Liga Sup


ARKIB : 31/03/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sentuhan penyudah penyerang utama bakal menjadi tumpuan penting lima pasukan teratas khususnya Selangor dan Kelantan yang saling bersaing merebut kembali teraju persaingan bola sepak Liga Super 2009, malam ini.

Jika Safee Sali masih serba tidak menjadi, kelemahan itu mampu ditampung Amri Yahyah, Rudie Ramli dan R. Surendren mahupun pemain bawah 20 tahun pasukan itu manakala Kelantan perlu lebih bimbangkan ketidakseimbangan pasukan biarpun berjaya mengumpul 25 gol setelah dibolosi 17 kali.

Anak buah Peter James Butler hanya mampu terus mengekori teraju liga selagi tidak memperbaiki barisan bentengnya yang dikemudikan bekas pemain belia negara dan Perak, Ahmad Azlan Zainal dan sikap penjaga gol veteran, Halim Napi yang mudah hilang tumpuan serta panas baran.

Malah Wira Merah yang memiliki jentera serangan berbisa dengan Indra Putra Mahayuddin, Khalid Jamlus, Nor Farhan Muhammad dan Badhri Radzi menghadapi pertemuan buku dengan ruas apabila melayani Negeri Sembilan di Kota Bharu.

Si Rusa yang diterajui Wan Jamak Wan Hassan mengatasi kekurangan Kelantan kerana setakat ini menjadi pasukan yang terendah melepaskan gol (enam gol) sekali gus menggambarkan kemantapan penjaga golnya, Farizal Harun dan bek tengahnya, Aidil Zafuan Radzak.

Gandingan muda dan berpengalaman seperti Zaquan Adha Radzak, Shahurain Abu Samah, S. Kunanlan dengan Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya dan Idris Karim menjanjikan laluan yang perit untuk Kelantan mempertahankan rekod tanpa kalahnya di kubu sendiri.

Sebaliknya Gergasi Merah bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menentang Terengganu dengan barisan mantap kecuali sayap kanannya, Amirulhadi Zainal yang kini cedera lutut kanan.

Pengurus pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim berkata: "Kemarau gol Safee bukan bererti dia kurang menyengat lagi tetapi memang sukar bagi mana-mana penyerang pun jika lawan meletakkan sehingga dua pemain untuk mengekangnya sepanjang masa.

"Namun Selangor mempunyai hampir kesemua pemain yang boleh menjaringkan gol termasuk pemain belia. Kami tidak akan hanya bergantung kepada Safee apatah lagi Zaiza Zainal Abidin (bek tengah) sudah dilatih sebagai penyerang sejak pulih daripada kecederaan," katanya.

Perlis yang cuba mengintai untuk menyelinap terus ke teraju liga sekiranya Selangor dan Kelantan dapat dikekang walau satu mata pun, malam ini, bertembung KM Naza di Alor Setar dengan mengusung masalah ketumpulan penyerang utamanya, Nizaruddin Yusof.

Gandingan pendahulu senarai penjaring Liga Super ini dengan penyerang muda, Ahmad Fakri Saarani masih tidak melegakan jurulatih Singa Utara, Irfan Bakti Abu Salim.

"Sudah tiga perlawanan Nizaruddin gagal menjaringkan gol. Ia membimbangkan saya," katanya.

Kedah yang secara beransur-ansur bangkit dari kelompok bawahan, turut bimbang dengan sentuhan penyerangnya, Khyril Muhymeen Zambri dan Azrul Ahmad.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5A70mBs1i
© Utusan Melayu (M) Bh

Jumaat, 2 Februari 2018

UiTM malukan Pulau Pinang

DAO BAKARY (kiri) meraikan jaringan pelengkap kemenangan UiTM
DAO BAKARY (kiri) meraikan jaringan pelengkap kemenangan UiTM 3-1 ke atas Pulau Pinang dalam saingan pembukaan Liga Perdana di Stadium UiTM, Shah Alam, sebentar tadi.- FOTO UTUSAN/SHAHARANI SAIBI
Sufian Hadi Sojak

01 Februari 2018 11:24 PM

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Pasukan berstatus ‘pelajar’, UiTM memulakan saingan dengan langkah kanan apabila menewaskan Pulau Pinang 3-1 dalam aksi pembukaan Liga Perdana musim ini, sebentar tadi.

Aksi di Stadium UiTM, Shah Alam itu menyaksikan Sadam Hashim terlebih dahulu meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-18, dan kedudukan 1-0 tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.


Begitu pun kelebihan tersebut hanya mampu bertahan sehingga hampir satu jam setelah skuad Harimau Kumbang menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi pemain dari Denmark, Ken Ilso.

Tersentak daripada itu, Lion Troops kemudian kembali di depan apabila Lucas Pugh dari Argentina meledak gol pada minit ke-86 sebelum pemain Ivory Coast, Dao Bakary melengkapkan kemenangan 3-1 UiTM di penghujung perlawanan.

Kemengan tersebut meletakkan skuad bimbingan Wan Mustaffa Wan Ismail menghuni kedudukan teratas liga untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam dengan pungutan 3 mata, sementara 10 lagi pasukan lain akan berentap esok.- UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/uitm-malukan-pulau-pinang-1.601550#ixzz55wgyaNoC
© Utusan Melayu (M) Bhd