Ahad, 18 Mac 2018

Annuar diberi surat penjelasan, hukuman Reduan dikurang


ARKIB : 03/04/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
PETALING JAYA - Reduan Abdullah mungkin mampu menarik nafas lega sedikit tetapi Tan Sri Annuar Musa berada di ambang bahaya, gara-gara kenyataan akhbar selepas dua jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersidang di Wisma FAM, semalam.

Jawatankuasa Rayuan FAM mengurangkan penggantungan setahun ke atas Reduan, jurulatih kelab Felda United kepada tiga bulan manakala Annuar, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berdepan kemungkinan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas mengkritik pengadil perlawanan Liga Super, Selasa lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Reduan bakal kembali menyandang tugasnya mulai Mei ini memandangkan dia sudah menjalani penggantungan asal daripada aktiviti bola sepak yang dijatuhkan pada 26 Februari itu selama sebulan, berdasarkan hukuman minimum menurut Peraturan Tatatertib FAM.

Bekas pemain Selangor dan Malaysia pada era 70-an hingga 80-an itu mulanya digantung setahun kerana kenyataan akhbarnya pada 20 Februari lalu tanpa kebenaran FAM mengenai ujian kecergasan pemain dalam Liga Malaysia dan dikeluarkan dengan fakta yang didapati tidak tepat.

"Surat menggesa penjelasan Tan Sri Annuar berhubung kenyataan akhbar (menyalahkan pengadil perlawanan Kelantan-Negeri Sembilan, Shokri Nor, sebagai punca kelakuan ganas penyokong Wira Merah) pula dikeluarkan hari ini (semalam) dan beliau diberikan tempoh seminggu untuk menjawabnya," kata Azzuddin.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan, C. Gnanarajah berkata, hukuman diringankan berdasarkan rekod bersih Reduan sebagai pemain dan jurulatih sebelum ini.

"Jawatankuasa Rayuan bagaimanapun mengekalkan penggantungan asal empat perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib ke atas jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim," katanya.

Turut dikekalkan hukuman ialah Polis Diraja Malaysia yang didenda RM10,000.

Terdahulu Jawatankuasa Tatatertib menggantung pemain PKNS, Zawawi Ramli selama tiga bulan dan mendenda RM300; Faizal Nasir (Melaka) dengan tiga perlawanan dan denda RM400 serta Faris Azlan Mat Isa (Sabah) dengan tiga perlawanan dan denda RM750 atas perlakuan atas padang dalam perlawanan Piala Presiden di Petaling Jaya dan Melaka pada 12 dan 16 Mac lalu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5A79QrfGB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan