Jumaat, 26 Disember 2014

Peluang bookie kawal Liga M– Dali

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

fazli.yadi@kosmo.com.my
 
DALI
ISU gaji tertunggak pemain-pemain bola sepak tempatan bukanlah satu masalah baru dalam saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) sejak ia melangkah ke era profesional pada tahun 1992.
Musim ini, boleh dikatakan hampir separuh pasukan dalam Liga M dikatakan memiliki masalah tersebut dan para pemain mendakwa majikan mereka seakan-akan cuba menindas mereka.
Terbaharu, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengalami masalah kewangan kritikal dan gagal melunaskan sebahagian besar gaji pemain yang dikatakan tertunggak hampir enam bulan.
Bagaimanapun, Presiden PFA, Datuk Rozabil Abd. Rahman tampil memberikan respons bahawa beliau sedang berusaha keras untuk menyelesaikan masalah itu walaupun menyedari kedudukan kewangan PFA sangat menyedihkan.
Bercakap mengenai masalah tersebut, legenda bola sepak negara, Dali Omar menjelaskan bahawa beliau risau dengan isu pembayaran gaji yang tidak konsisten kepada pemain-pemain yang beraksi dalam Liga M dan secara tidak langsung akan memberikan ruang kepada bookie untuk mengambil alih kesempatan tersebut.
Jelas Dali, beliau tidak menolak kemungkinan rasuah akan kembali menyerang Liga M jika masih banyak persatuan mahupun kelab gagal mentadbir kebajikan pemain-pemain dengan lebih profesional.
“Jika persatuan atau kelab tidak mampu bayar gaji, bagaimana pemain mahu sara keluarga mereka?
“Kebajikan pemain-pemain harus dijaga dengan baik. Jika persatuan tersebut matang, mereka sepatutnya tahu untuk menjaga pemain-pemain profesional. Jika tidak, liga kita akan turus menjadi sasaran bookie.
“Jika kita tidak menjaga dengan baik, besar kemungkinan rasuah akan kembali menyerang Liga M. Adakah ini yang kita mahukan? Apakah pemain harus dipersalahkan jika mereka bermain tanpa gaji?
“Pemain-pemain juga manusia biasa. Mereka perlu menyara diri dan jika mereka terdesak, tidak mustahil mereka akan terlibat dengan rasuah. Inilah sebab mengapa kita perlu pastikan persatuan-persatuan bola sepak kita tampil lebih matang dan profesional,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Dali juga kesal dengan beberapa persatuan yang mengambil individu yang lebih mengutamakan agenda peribadi berbanding semangat untuk membangunkan bola sepak dan ia juga dilihat menjadi faktor kemerosotan pasukan itu.
“Maaf nak cakap, zaman sekarang saya lihat orang yang tak pernah main bola pun boleh jadi presiden persatuan. Ini kerana semua mahu nama tetapi hal bola sepak langsung tidak tahu.
“Semua berebut mahu menjadi pegawai penting dalam persatuan tapi bila dalam kes ini, semua angkat kaki dan sebelum Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu menswastakan Liga M, pastikan kesemua persatuan kena profesional.
“Jika tidak, buat malu sahaja jika ada kes-kes seperti ini timbul di masa akan datang. Jika mereka tidak mampu bayar gaji pemain, lebih baik FAM mengeluarkan pasukan itu dari Liga M. Itu lebih baik,” katanya.
sumberArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz3N1JXPOcFHakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan