Ahad, 22 Jun 2014

Hodak bangga aksi anak buah

AMZAR AMIR RAMADAN
22 Jun 2014
Pemain JDT, Asraruddin Putra Omar (empat, kanan) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan dalam aksi Liga Super di Larkin, kelmarin.
Pemain JDT, Asraruddin Putra Omar (empat, kanan) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan dalam aksi Liga Super di Larkin, kelmarin. Pemain JDT, Asraruddin Putra Omar (empat, kanan) cuba melepasi kawalan pemain Kelantan dalam aksi Liga Super di Larkin, kelmarin.

SELEPAS 21 perlawanan, Johor Darul Ta`zim (JDT) berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri apabila menamatkan perlawanan menentang Kelantan dengan keputusan 3-0, kelmarin.

Ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak berkata, dia sangat berbangga dengan prestasi dipamerkan anak buahnya apabila memastikan tiga mata penuh milik Harimau Selatan.

“Bukan memperlahankan rentak permainan pada separuh masa pertama, tetapi inilah corak permainan yang dibincangkan bagi mengekang asakan TRW.

“Pemain pertahanan turut memperagakan corak permainan baik apabila mereka berjaya menghalang beberapa cubaan pemain Kelantan yang cuba melepasi mereka,” katanya selepas tamat perlawanan, kelmarin.

Dalam pada itu, Hodak turut memberitahu, Nazrin Nawi mempamerkan permainan bermutu tinggi selepas diberikan kepercayaan membarisi kesebelasan utama.

Tambahnya, dia tidak menafikan jika Nazrin mampu meneruskan momentum sama, mungkin peluang sama diberikan untuk berdepan perlawanan terakhir di Sarawak nanti.

Sementara itu, ketua pasukan JDT ketika menentang Kelantan, Shafiq Rahim berkata, dia berpuas hati selepas rakan sepasukan saling membantu untuk mempertahankan kedudukan di persada Liga Super 2014.

Menurutnya, setiap pemain yang diberikan kepercayaan untuk bermain tidak kira dirinya mahupun pemain lain, sudah pasti akan menampilkan prestasi terbaik.

“Ketika bermain semalam (kelmarin) saya dan Haris cuba untuk mengawasi jentera tengah TRW dan cubaan kami berhasil apabila mereka tidak bergerak dengan senang,” katanya.

Shafiq memberitahu, dia tidak mahu kedudukan sekarang berubah apabila Liga Super melabuhkan tirainya kerana mereka berusaha sedaya upaya memastikan kejuaraan milik JDT.


“Walaupun awal musim bermula dengan perlahan, namun kini kami berada di persada liga, kami akan berikan terbaik untuk perlawanan akhir bagi memastikan trofi dibawa pulang ke Johor,” katanya.
RUJUKAN-SINAR HARIAN ONLINE 22.6.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan