Sabtu, 21 Jun 2014

Selangor terus kejar JDT

 
PEMAIN Sarawak, S. Chanthuru cuba dihalang Pantelidis Stilianos pada aksi di Stadium Shah Alam malam tadi.

HARAPAN Selangor menjuarai Liga Super musim ini masih lagi terbuka sejurus mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Sarawak di Stadium Shah Alam malam tadi.Tiga mata berharga itu menyaksikan Gergasi Merah kini mengumpul 40 mata, mengekori rapat pendahulu liga, Johor Darul Takzim (Johor DT) dengan ketinggalan satu mata berbaki satu perlawanan sahaja lagi.

Pada aksi tersebut, tuan rumah bermula garang mendahului Bujang Senang menerusi jaringan penyerang berbisanya, Paulo Rangel pada minit ke-44.

Rangel terus membuktikan ketajamannya apabila menggandakan kedudukan buat Selangor selepas menyudahkan hantaran silang daripada Andik Vermansyah pada minit ke-60.

Penyerang import dari Brazil itu kini sudah merekodkan 14 gol liga sekali gus meletakkan dirinya sebagai penjaring gol terbanyak Liga Super setakat ini.

Selangor memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka dengan gol ketiga daripada Ahmad Hazwan Bakri yang tidak mensia-siakan umpanan cantik daripada Rangel pada minit ke-65.

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu perlu menang ke atas Selangor PKNS pada aksi terakhir liga musim ini sambil mengharapkan Johor DT yang bertandang ke Stadium Negeri, Kuching tumbang di tangan Sarawak, Rabu depan.

Bagaimanapun, Gergasi Merah perlu melupakan niat muncul juara musim ini sekiranya gagal meraih kemenangan atau sekadar seri ke atas PKNS berdasarkan perbezaan jumlah jaringan gol yang tinggi dimiliki Harimau Selatan.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula menyaksikan Pahang berjaya menewaskan PKNS yang berada di tangga tercorot liga dengan kemenangan 2-1.

Dua gol Tok Gajah itu hadir menerusi jaringan Azidan Sarudin dan Mohd. Saiful Nizam Miswan pada minit ke-47 dan 58 manakala jaringan tunggal The Red Ants itu dihasilkan oleh Karlo Primorac pada minit ke-88.

Sementara itu, harapan T-Team untuk meraih kemenangan tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dengan Sime Darby pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Satu lagi aksi yang berlangsung malam tadi menyaksikan juara bertahan, Lions XII tumpas 0-2 kepada Perak di laman sendiri di Stadium Jalan Besar, Singapura.

RUJUKAN – KOSMO ONLINE 22.6.14

Tiada ulasan:

Catat Ulasan