Jumaat, 20 Jun 2014

Kejuaraan liga masih terbuka

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
 
ZAINAL melayan peminat cilik Pahang selepas majlis penyampaian sumbangan kepada Pak Majid atau Abdul Majid Abdul Hamid di Felda Lepar Hilir 1, Pahang semalam.

TOK GAJAH akan berusaha untuk memenangi baki dua perlawanan dalam Liga Super menentang PKNS FC dan Perak sekali gus membawa pulang enam mata penuh, kata Ketua Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan.

Mahu atau tidak, pengendali skuad itu masih yakin mereka mampu untuk merangkul kejuaraan liga kerana menganggap saingan masih terbuka dan akan ditentukan sehingga ke perlawanan terakhir.

"Saya tak mahu fikirkan sangat mengenai kejuaraan itu tetapi saingan terdekat, Selangor dan Johor Darul Takzim (Johor DT) turut kehilangan tiga mata penting dalam perlawanan sebelum ini.

"Saya akui agak kecewa kerana hanya mampu memperoleh satu mata ketika seri dengan Sarawak pada perlawanan sebelum ini namun perjuangan kita masih belum selesai dan kita akan teruskan.

"Kami tidak akan menyerah kalah sehingga perlawanan terakhir. Jadi tidak ada yang mustahil buat Pahang," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Pak Majid atau Abdul Majid Abdul Hamid di Felda Lepar Hilir 1 di sini semalam.

Mengenai pertembungan dengan PKNS esok, beliau berasa lega kerana kesemua pemain Pahang kini berada pada tahap yang terbaik dan yakin pasukannya boleh menang.

"Dengan sokongan padu daripada penyokong setia Pahang, kita akan buat sebaiknya dan memenangi perlawanan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan meminta kesemua rakan dalam pasukan supaya berjuang bermati-matian untuk memastikan mereka menang dalam baki saingan liga yang sudah menuju ke penghujung.

Dengan semangat yang tinggi ujarnya, rentak permainan dan strategi yang direncanakan oleh Zainal dapat dipamerkan dengan baik untuk memenangi perlawanan.

"Paling lega, tiada pemain yang cedera dan digantung perlawanan, jadi sesiapa sahaja bersedia untuk diturunkan nanti," jelasnya.
RUJUKAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan