PENGADIL, Mohd. Nafeez Abdul Wahab mengarahkan pemain Selangor, Paulo Rangel (kiri) keluar padang setelah dilayangkan kad merah ketika perlawanan Liga Super antara Selangor dengan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi. - UTUSAN/Shaifudin Mohd Nor
KUALA LUMPUR - Selangor kehilangan penyerang berbisa, Paulo Rangel yang menerima kad merah namun masih mampu membelasah Terengganu 4-1 dalam perlawanan kontroversi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi untuk mengukuhkan kedudukannya di persada Liga Super.
Selangor kini mengumpul 37 mata ketika kempen berbaki empat perlawanan, namun disaingi oleh pasukan di tangga kedua, Johor Darul Ta'zim yang menang besar di tempat sendiri.
Penyerang dari Brazil, Rangel meletakkan Selangor di depan pada awal permainan menerusi tandukan, namun tercetus kontroversi apabila pemain itu dilayangkan kad merah kerana didakwa terlebih dahulu menyiku pertahanan tuan rumah, Mazlizam Mohamad sedangkan jaringannya disahkan oleh pengadil.
Kehilangan seorang pemain bagaimanapun tidak menjejaskan rentak pelawat sebaliknya mereka terus selesa mendahului tuan rumah apabila penyerang, Abdul Hadi Yahya mudah menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-47 selepas dia dijatuhkan.
Tuan rumah mengatur serangan dalam usaha mereka kembali bersaing dan berjaya merapatkan kedudukan menerusi penyerang import, Moustapha Dabo pada minit ke-51 yang berpunca daripada tendangan sudut.
Usaha Terengganu untuk menyamakan kedudukan terus terbantut apabila pemain tengah Selangor, S. Veenod menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-88 sebelum S. Kunanlan menghapuskan sisa-sisa perjuangan tuan rumah dengan gol keempat pada masa kecederaan.
Sementara itu Johor Darul Ta'zim (JDT) terus memberikan saingan kepada Selangor apabila membenam Sime Darby 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru.
Pasukan tuan rumah bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-44 untuk memecah benteng pertahanan lawan menerusi tendangan Amri Yahyah dari luar kotak penalti.
Anak buah Bojan Hodak tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukan mereka apabila memperoleh gol kedua pada minit ke-51 menerusi pemain dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz yang menyempurnakan umpanan Asraruruddin Putra Omar.
Diaz sekali lagi menjadi wira pasukan apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-80, hasil umpanan rakan senegara, Luciano Gabriel Figueroa.
Sementara itu, Pahang yang masih segar dengan kejayaan merangkul Piala FA bagaimanapun tersentak apabila hanya mampu seri 2-2 dengan pasukan kedua tercorot, ATM di Stadium Selayang.
Kesilapan Ahmad Fauzi Shaari yang tertanduk bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-20 hasil bola sepakan lintang Saiful Nizam Miswan meletakkan skuad Tok Gajah di hadapan.
ATM menyamakan kedudukan hasil tindakan bijak Juan Manuel Arostegui mengambil kesempatan kelekaan Damion Stewart pada minit ke-56 dengan mencuri bola di dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan kencang menewaskan Khairul Azhan Mohd. Khalid.
Sebelas minit kemudian, Saiful Nizam kembali meletakkan Pahang di hadapan pada minit ke-67 yang memanfaatkan bola sepakan sudut Azidan Sarudin sebelum menanduk masuk ke dalam gawang The Gladiators.
Namun, semangat juang ATM sukar disekat apabila sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan melalui sentuhan pertama Bruno Martelotto yang masuk selaku pemain gantian pada minit ke-77 apabila menolak masuk bola hantaran Venice Elphi Danny Kaya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140611/su_01/Selangor-kekal-pendahulu#ixzz34HPnCByi © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan