Isnin, 9 Jun 2014

Kelantan cari pengubat duka

 
Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@utusan.com.my

MOHD. Badhri Radzi mahu rakan-rakan sepasukannya meraih kemenangan dalam Liga Super bagi mengubati kekecewaan setelah gagal ke perlawanan akhir Piala FA.
KOTA BHARU - Kelantan mahu mengubati kekecewaan gagal mempertahankan Piala FA musim ini dengan membenam juara bertahan Liga Super, Lions XII di Stadium Sulan Muhammad IV malam ini.

Ketua pasukan, Mohd. Badhri Radzi berkata, pertemuan dengan Lions XII itu merupakan medan terbaik buat mereka untuk mengembalikan semula reputasi pasukan selain memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Super.

"Jurulatih memberitahu bahawa kami perlu melupakan kegagalan dalam saingan Piala FA dan kembali memberikan tumpuan untuk Liga Super.

"Saya akui agak mustahil untuk kita menang dalam kesemua baki lima perlawanan selepas ini, namun saya yakin dan percaya kita mampu menang tiga dari lima perlawanan itu," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Dalam perkembangan lain, Badhri yang dikenali dengan Piya memberitahu mereka menerima khabar gembira kerana Mohamad Shawky Yazid akan kembali memantapkan bahagian tengah The Red Warriors pada perlawanan itu nanti.

Katanya, selain Shawky, Kelantan juga akan mendapat semula khidmat Ahmad Fakri Saarani setelah penyerang itu pulih dari kecederaan dan bersiap sedia untuk diturunkan dalam perlawanan malam ini.

"Saya berharap rakan-rakan sepasukan mampu memberikan persembahan bertenaga pada perlawanan itu nanti bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan.

"Insya Allah, kami akan beraksi seperti mana ketika mengalahkan PKNS dalam saingan bulan lalu," ujarnya.

Sementara itu, Piya turut mengingatkan rakan-rakan sepasukannya supaya tidak mengambil mudah kemampuan Lions XII pada perlawanan itu nanti.

Katanya, meskipun dibarisi pemain tempatan namun mereka cukup bagus dan skuad itu pasti mahu membalas dendam kekalahan 2-1 kepada Kelantan dalam pusingan pertama.
RUJUKAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140610/su_02/Kelantan-cari-pengubat-duka#ixzz34BigfwvL © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan