Sabtu, 18 Januari 2014

Skuad Perak kena gantung

Oleh Sayed Hesham Idris

utusanperak@utusan.com.my
Naib Presiden PAFA, Isham Shahrudin (tengah) menunjukkan salinan laporan polis kepada media di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, semalam. - UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ
IPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) semalam menggantung kesemua pegawai dan petugas termasuk ketua jurulatihnya Azraai Khor Abdullah selama dua minggu selepas mengesyaki berlaku rasuah dan sabotaj dalam skuad itu.
Serentak itu juga PAFA membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Presiden PAFA, Khairul Azwan Harun berkata, keputusan drastik menggantung tugas semua pegawai pasukan dan membuat laporan polis dan kepada SPRM itu ekoran kekalahan memalukan 1-6 kepada Sarawak pada perlawanan Piala Malaysia, Sabtu lalu.
"Kami mula mengesyaki wujud elemen dan tindakan yang ada kaitan dengan sabotaj dan rasuah dalam pasukan ini sejak tiga atau empat perlawanan terakhir Perak lagi.
"Kekalahan besar kepada Sarawak adalah kemuncaknya.
"Sekarang kita serahkan kepada polis dan SPRM untuk melakukan siasatan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PAFA, semalam.
Laporan dibuat dekat Balai Polis Sungai Senam dan di Pejabat SPRM negeri dekat Meru Raya, semalam.
"PAFA juga menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAFA, Datuk Ismail Saffian dan seorang peguam untuk menjalankan siasatan dalaman secara terperinci termasuk aspek kejurulatihan.
"Pasukan petugas khas ini akan mengemukakan hasil siasatan kepada PAFA sebelum tindakan lanjut dapat diambil," tegas Khairul.
Perak gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia setelah dibelasah 1-6 oleh Sarawak pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Kuching, Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Khairul Azwan berkata, kesemua pegawai yang digantung dan pemain dilarang meninggalkan bandar raya ini sepanjang tempoh siasatan.
Beliau berkata, mereka juga diwajibkan melaporkan diri pada setiap hari di pejabat PAFA mulai esok.
Bagi pemain, Khairul Azwan berkata, mereka perlu mematuhi syarat kontrak dengan menjalani latihan seperti biasa mulai Rabu ini.
"Disebabkan ketua jurulatih pasukan (Azraai) kini digantung tugas, maka persatuan melantik ketua jurulatih Akademi Bola Sepak PAFA, Marshall Soper dan Sayuddin Mat Isa sebagai pengendali sementara pasukan ini.
"Jika semua pegawai, petugas dan pemain gagal melapor diri mulai 25 September ini, Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Darurat PAFA akan mengambil tindakan tegas.
"Ini adalah amaran selepas apa yang berlaku di Kuching dan beberapa perlawanan lain yang tidak boleh diterima. Kami boleh terima kekalahan tetapi tidak boleh terima sikap yang ditunjukkan," tegasnya.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat secara kolektif selepas berbincang dan mengambil pandangan anggota majlis PAFA, pihak yang berkepentingan termasuk beberapa kelab peminat yang berdaftar.
Katanya soal kebajikan tidak perlu dibangkitkan dalam perkara itu kerana selepas Presiden, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengambil alih kepemimpinan PAFA pada 2010, segala tunggakan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diselesaikan.
Beliau berkata, tiadanya komitmen, kesungguhan dan disiplin juga adalah elemen sabotaj dalam bola sepak yang merosakkan pasukan walaupun elemen rasuah tidak berlaku.
"Saya telah mengurus pasukan sejak 2011. Saya tahu bila mereka benar-benar bermain atau dalam bahasa bola sepak kami kata 'saya tahu bila pemain tarik game dan buka game. Tiga tahun memberi pengajaran kepada saya, jadi jangan ambil mudah berhubung perkara yang kami bangkitkan ini," katanya.
Pada perlawanan peringkat Kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia, Perak mencatat tiga kekalahan iaitu tewas kepada Kedah 0-1 pada 17 September, kalah kepada Lions XII 1-2 (31 Ogos) dan kalah teruk iaitu 1-6 kepada Sarawak, Sabtu lepas, sekali gus gagal ke peringkat suku akhir.


rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130924/su_01/Skuad-Perak-kena-gantung#ixzz2flWW2TDW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

ISU RASUAH PASUKAN BOLASEPAK PERAK

Azraai dipanggil beri keterangan

AZRAAI tiba di pejabat SPRM Perak di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam bagi memberi keterangan.


SIASATAN terhadap tuduhan rasuah membabitkan pasukan Perak sampai ke kemuncaknya apabila ketua jurulatih, Mohd. Azraai Khor Abdullah dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bandar Meru Raya, Ipoh semalam.
Azraai yang memandu sendirian kereta Myvi berwarna jingga masuk ke kompleks agensi berkenaan kira-kira pukul 3 petang.
Namun, pada pukul 4.20 petang, Azraai dilihat keluar dari kompleks terbabit ke satu lokasi menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama tiga pegawai SPRM.
Azraai kemudiannya masuk semula ke bangunan tersebut pada pukul 5.40 petang.
Sehingga pukul 9.30 malam semalam, Azraai masih berada di pejabat SPRM dan usaha menghubunginya tidak membuahkan hasil.
Sumber SPRM Perak pula ketika dihubungi memaklumkan proses mengambil keterangan daripada Azraai selesai sebelum tengah malam tadi.
“Kita telah ambil keterangan semua pemain dan (keterangan) Azraai masih direkodkan. Beliau akan dibenarkan pulang selewat-lewatnya malam ini (semalam),” katanya.
Terdahulu, kapten Perak, Shahrulnizam Mustapha diikuti pemain tengah, M. Yoganathan serta pemain-pemain lain secara berperingkat-peringkat dilihat masuk untuk memberi keterangan.
Shahrulnizam ketika ditemui selepas memberi keterangan berkata, siasatan itu tidak menjejaskan tumpuannya dan barisan pemain Perak yang lain.
“Siasatan kes ini tidak mengganggu tumpuan kami untuk menghadapi perlawanan.
“Pada saya, kalau mereka (SPRM) panggil beri keterangan, kita bagi kerjasamalah,” katanya yang mengakui memberi keterangan lebih empat jam bermula pukul 2 petang hingga 6.15 petang.
Ditanya mengenai siasatan terhadapnya, Shahrulnizam menjelaskan, SPRM meminta dia memberi reaksi berdasarkan pengamatan prestasi pasukan dalam beberapa perlawanan terakhir.
“Mereka tanya ada rasa apa-apa atau nampak apa-apa,” katanya.
Kelmarin, 12 pemain Perak selain penolong jurulatih, Chong Yee Fatt dan jurulatih kecergasan, M. Pubalan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan masing-masing.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil tindakan drastik dengan menggantung tugas Azraai dan semua pegawai skuad Seladang selama dua minggu berkuat kuasa Isnin lalu.


Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo/26.9.2013

Kelantan buat persiapan awal Liga Malaysia musim depan

KOTA BHARU - The Red Warriors mengesahkan akan mengikat tiga pemain kelahiran Kelantan bertaraf kebangsaan bagi memperkuatkan pasukan menghadapi saingan musim hadapan.Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, ketiga-tiga pemain berkenaan menunjukkan minat untuk kembali menyarung jersi Kelantan musim hadapan.Beliau berkata, proses rundingan perpindahan telah pun selesai bagi membolehkan mereka beraksi bersama The Red Warriors musim depan.Menurutnya, perpindahan mereka akan bermula musim depan selepas kontrak tamat pada akhir Oktober ini.[1]
"Kini, mereka dalam proses menyelesaikan urusan bersama pasukan masing-masing dan kita mengalu-alukan kedatangan mereka menyertai pasukan Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa The Red Warriors bersama 800 warga tentera 8 Briged di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, kelmarin.
Antara nama yang dikaitkan dengan perpindahan tersebut ialah pemain kelahiran Tumpat, Mohd Nazrin Mohd Nawi yang sebelum ini mendapat tawaran lumayan dari pasukan selatan tanah air.
Ditanya mengenai status pemilihan Nazrin, Annuar berkata, meskipun ditawarkan gaji yang lumayan oleh pasukan lain, namun bagi pemain ada ketikanya mereka lebih berminat menyertai pasukan baharu yang dapat memberi kepuasan bekerja.
"Perpindahan pemain adalah perkara biasa, dan mereka (pemain) sendiri mempunyai sasaran untuk memasuki mana-mana pasukan tanpa hanya melihat pada gaji yang ditawarkan, ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, KAFA mahu meremajakan semula pasukan bola sepak Kelantan dengan mengambil pemain yang lebih muda sekitar usia 25 tahun.
Katanya, ia bagi memastikan prestasi dan stamina pemain dapat dipertingkatkan bagi membantu Kelantan memenangi semula kejuaraan-kejuaraan sebelum ini."Tahun ini, kita hanya berjaya mengekalkan satu daripada tiga piala yang dimenangi musim lalu, iaitu Piala FA.''Jadi kita mahu pemain-pemain muda ini dapat membantu menaikkan kembali prestasi pasukan," tegasnya.[2]






[1] Yatimin Abdullah, Kelantan Buat Persiapan Awal Liga Malaysia Musim Depan, Utusan Malaysia 27 Julai 2013, hlm.35.
[2] ibid

3 impian '2014' Safee

Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Selepas mengharungi banyak detik tidak menggembirakan sepanjang 2013, bintang penyerang kebangsaan, Safee Sali (gambar) memasang tiga impian yang diharap dapat dipenuhi pada tahun baharu 2014.

Menurut penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu, dia mahu melupakan episod pahit menghambat dirinya sepanjang 2013 dan membuka lembaran baharu.

Impian pertama Safee tahun ini, adalah mencari kebahagiaan dalam rumah tangga selepas melangsungkan perkahwinan kali kedua pada 28 Disember lalu.

Perkara kedua yang diimpikan pemain yang genap 30 tahun pada 28 Januari ini adalah memastikan, kariernya yang suram ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tahun lalu mampu kembali bersinar.

Melengkapkan tiga impian Safee tahun ini, dia berharap kedudukannya dalam skuad kebangsaan tidak tergugat walaupun Harimau Malaya bakal bertukar teraju dengan Datuk Ong Kim Swee bertindak sebagai jurulatih sementara menggantikan Datuk K. Rajagobal.

“Apa yang terjadi biarlah terjadi, saya akan jadikan ia sebagai satu coretan perjalanan hidup saya.

“Bagi azam tahun baharu ini saya pasang tiga impian, yang pertama saya mahu membuat yang terbaik bersama pasukan yang saya wakili sekarang.

“Kedua, ingin melihat karier bola sepak saya semakin berkembang. Saya akan beri komitmen baik terhadap pembangunan bola sepak negara.

“Ketiga pula, saya harap perjalanan peribadi saya menjadi lebih tenang," katanya semalam.

Penyerang sensasi negara itu mengakhiri zaman dudanya tahun lalu adengan memilih wanita yang dikenali sebagai Sasha, berasal dari negara seberang, Indonesia.

Safee pernah mewakili Pelita Jaya dan Arema Cronous dalam Liga Super Indonesia pada 2011 hingga 2012, dan kini dia menyambung kontrak bersama pasukan (JDT) untuk bersaing dalam Liga Super Malaysia musim ini.

Meskipun mewakili JDT pada musim lalu, namun dia seringkali diletakkan di bangku simpanan ekoran beberapa kecederaan yang dialaminya.

Dalam pada itu, Sefee turut bertekad merebut tempat bersama barisan Harimau Malaya memandangkan skuad negara kini dipacu oleh Kim Swee.

Ketika pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Rajagobal, Safee sering dilabel sebagai ‘anak emas’ kerana sering menjadi pilihan ketua jurulatih kebangsaan itu biarpun melalui karier yang suram bersama pasukan negeri.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140102/su_01/3-impian-2014-Safee#ixzz2pDwvAxxH © Utusan Melayu (M) Bhd

Ramzul ‘bintang’ baru T-Team

WARTAWAN: ZUBIR SULAIMAN, FOTO: MOHD SAUFEE

28 Disember 2013
Ramzul ‘bintang’ baru T-Team 
Ramzul ‘bintang’ baru T-Team Persaingan merebut kesebelasan utama membuatkan Ramzul terus bersemangaT.
KEMAHIRAN mengelecek bola selain larian deras dan laju setiap kali beraksi di atas padang dimiliki penyerang kelahiran Wakaf Bharu, Kelantan, Mohd Ramzul Zahini Adenan bakal menjadi taruhan barisan depan T-Team mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Meskipun sekadar memanaskan bangku simpanan ketika bersama skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim (Selangor) musim ini, namun ketua jurulatih baharu, The Titans, Mohd Azraai Khor Abdullah menaruh keyakinan tinggi pemain berusia 25 tahun itu mampu membantu T-Team memperkuatkan jentera serangan.

Apa pun kehadiran Mohd Ramzul menjadi pelengkap pasukan dengan beberapa lagi pemain berstatus bintang seperti Patrich Steve Wanggai, Evaldo Rodrigues Goncalves Cardoso bersama dua rakan senegerinya iaitu Nizab Ayub dan Azlan Ismail serta pemain tempatan, Muhammad Muinuddin dilihat dapat membantu mempertajamkan posisi serangan.

PERLU BERSAING

Justeru, bekas penyerang The Red Warriors (TRW) musim 2007 hingga 2012 dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan bawah 23 tahun pada 2010 serta skuad kebangsaan tahun berikutnya tekad membalas kepercayaan diberikan dengan jaminan aksi terbaik sekali gus memperbaiki kedudukan.

Jelasnya, dia akan berusaha sebaik mungkin untuk berada dalam kesebelasan utama dengan memberikan komitmen seratus peratus.

“Sememangnya saingan berada dalam kesebelasan utama amat sengit tambahan pula pasukan T-Team kini mempunyai lima penyerang lain yang berwibawa termasuk dua rakan sepasukan (Kelantan) sebelum ini (Nizab Ayub dan Azlan Ismail).

"Apa pun ia bukan halangan buat saya untuk memberikan yang terbaik dan membantu pasukan berada di tangga ke empat liga nanti.

“Saya yakin dengan gandingan ramai pemain muda dan berpengalaman selain di bimbingan jurulatih berpengalaman seperti Azraai Khor Abdullah, T-Team mampu memperbaiki kedudukan ke peringkat yang lebih tinggi daripada sebelum ini. Bagi saya tidak ada yang mustahil untuk dicapai sekiranya semua pihak bekerja keras ke arah itu (kejayaan),” katanya.

HARAP TAJAM

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh turut mengharapkan kehadiran Ramzul dan beberapa lagi pemain dapat menangani masalah ketumpulan jentera serangan yang membelenggu pasukan sebelum ini.

Ujarnya, kepantasan larian dimiliki pemain itu membuatkan Azraai Khor tertarik untuk dibawa masuk dijangkakan akan digandingkan dengan awang import.

“Kita lihat pemain ini serba boleh dan jurulatih mempunyai banyak pilihan meletakkan di bahagian mana. Dia tidak berdepan masalah dari segi persefahaman kerana penyerang seperti Nizab dan Azlan adalah rakan sepasukan ketika bersama Kelantan sebelum ini.

“Saya yakin kehadiran beberapa pemain berpengalaman selain penyerang import berkaliber, T-Team pasti akan menyengat musim depan,” katanya

SERBA LENGKAP

Difahamkan, pasukan bimbingan Azraai Khor yang dibantu bekas pengulas sukan Astro Arena, Azlan Johar kini mempunyai senarai lengkap pemain selepas mengikat empat awang import iaitu Fabio Flor dari Brazil (pertahanan), Nelson Sam Martin dari Chile (tengah) Patrick Wanggai dari Indonesia (penyerang) dan penyerang kelahiran, Brazil, Evaldo Rodrigues Goncalves Cardoso.

SUMBER:SINAR HARAIN  ONLINE 28.12.2013

Terengganu tubuh pasukan hadapi Piala FAM

1 Januari 2014

 T-Team
T-Team T-Team pasukan kedua dibentuk oleh kerajaan negeri Terengganu.
KERAJAAN negeri Terengganu semalam bersetuju menubuhkan sebuah lagi pasukan profesional untuk menghadapi kejohanan bola sepak Piala FAM tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata, kerajaan negeri bertekad untuk menjadikan sukan ini (bola sepak) satu kerjaya kepada anak-anak Terengganu.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat penubuhan pasukan FAM di sini, Rozi berkata ini merupakan pasukan bola sepak profesional yang ketiga dibentuk oleh kerajaan negeri selepas Terengganu FA dan pasukan berstatus kelab T-Team. 

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Zainal Abidin Hussin, Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman, dan Setiausaha Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu Abdullah Salleh.

Rozi berkata satu sesi pemilihan pemain akan diadakan di padang Kompleks Sukan Gong Badak pada 2 hingga 8 Januari ini.

Beliau berkata mana-mana pemain yang berminat untuk menganggotai pasukan itu boleh menjalani sesi pemilihan pada tarikh-tarikh tersebut mulai jam 4 petang.

Rozi berkata pasukan tersebut akan diuruskan oleh PBSNT dan sudah pun didaftar untuk menyertai kejohanan Piala FAM Mac depan.

Katanya, 25 pemain berpotensi akan diambil menyertai pasukan berkenaan.  - Bernama
SUMBER:SINAR HARAIN  ONLINE 1.1.2014