Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Selepas mengharungi banyak detik tidak menggembirakan sepanjang 2013, bintang penyerang kebangsaan, Safee Sali (gambar) memasang tiga impian yang diharap dapat dipenuhi pada tahun baharu 2014.
Menurut penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu, dia mahu melupakan episod pahit menghambat dirinya sepanjang 2013 dan membuka lembaran baharu.
Impian pertama Safee tahun ini, adalah mencari kebahagiaan dalam rumah tangga selepas melangsungkan perkahwinan kali kedua pada 28 Disember lalu.
Perkara kedua yang diimpikan pemain yang genap 30 tahun pada 28 Januari ini adalah memastikan, kariernya yang suram ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) tahun lalu mampu kembali bersinar.
Melengkapkan tiga impian Safee tahun ini, dia berharap kedudukannya dalam skuad kebangsaan tidak tergugat walaupun Harimau Malaya bakal bertukar teraju dengan Datuk Ong Kim Swee bertindak sebagai jurulatih sementara menggantikan Datuk K. Rajagobal.
“Apa yang terjadi biarlah terjadi, saya akan jadikan ia sebagai satu coretan perjalanan hidup saya.
“Bagi azam tahun baharu ini saya pasang tiga impian, yang pertama saya mahu membuat yang terbaik bersama pasukan yang saya wakili sekarang.
“Kedua, ingin melihat karier bola sepak saya semakin berkembang. Saya akan beri komitmen baik terhadap pembangunan bola sepak negara.
“Ketiga pula, saya harap perjalanan peribadi saya menjadi lebih tenang," katanya semalam.
Penyerang sensasi negara itu mengakhiri zaman dudanya tahun lalu adengan memilih wanita yang dikenali sebagai Sasha, berasal dari negara seberang, Indonesia.
Safee pernah mewakili Pelita Jaya dan Arema Cronous dalam Liga Super Indonesia pada 2011 hingga 2012, dan kini dia menyambung kontrak bersama pasukan (JDT) untuk bersaing dalam Liga Super Malaysia musim ini.
Meskipun mewakili JDT pada musim lalu, namun dia seringkali diletakkan di bangku simpanan ekoran beberapa kecederaan yang dialaminya.
Dalam pada itu, Sefee turut bertekad merebut tempat bersama barisan Harimau Malaya memandangkan skuad negara kini dipacu oleh Kim Swee.
Ketika pasukan Harimau Malaya di bawah bimbingan Rajagobal, Safee sering dilabel sebagai ‘anak emas’ kerana sering menjadi pilihan ketua jurulatih kebangsaan itu biarpun melalui karier yang suram bersama pasukan negeri.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140102/su_01/3-impian-2014-Safee#ixzz2pDwvAxxH © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan