Sabtu, 28 Oktober 2017

Nanthakumar umum persaraan



Khamis, 26 Oktober 2017 | 8:56pm
 
KAPTEN MISC-MIFA, K Nanthakumar mengumumkan akan bersara sebagai pemain selepas aksi terakhirnya bersama pasukan itu berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok. - Foto Nazri Abu Bakar
Nanthakumar umum persaraan
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Bekas pemain kebangsaan yang kini kapten MISC-MIFA, K Nanthakumar akan bersara sebagai pemain selepas aksi terakhirnya bersama pasukan itu berdepan PDRM di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.

Pemain yang memiliki pengalaman luas di kancah Liga Malaysia yang juga bekas pemain MPPJ, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan itu berkata, kelibatnya sebagai pemain akan diakhiri selepas perlawanan itu.

Baginya, usia 40 tahun menjadi penamat karier bola sepaknya sebagai pemain pertahanan dan tengah dengan berhasrat menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan sepenuh masa musim depan.

"Musim 2018 saya tetap berada dalam Liga Malaysia sebagai jurulatih bukan pemain. Namun saya belum pasti melatih pasukan mana. Mungkin bermula di peringkat bawah dulu atau skuad Piala Belia atau Presiden.

"Banyak kenangan saya sebagai pemain yang tidak akan saya lupakan antaranya menjuarai Piala FAM bersama pasukan ini musim lalu. Selain juara Piala Malaysia serta pelbagai kejuaraan termasuk ketika bersama The Bos Gaurus, MPPJ, The Red Warriors, The Red Giants dan skuad 'Hobin Jang Hobin," kata anak kelahiran Perak itu.

KAPTEN MISC-MIFA, K Nanthakumar (kanan) ketika beraksi menentang PKNP FC pada perlawanan Piala FAM. - Foto Muhaizan Yahya

Nanthakumar yang mewakili Malaysia dari 2002-2007 juga berazam untuk membantu pasukannya kekal di Liga Perdana sebelum bersara.

Menurutnya, keutamaan adalah menewaskan The Cops sambil membuka semula peluang untuk kekal di Liga Perdana 2018 kerana kekalahan akan menyaksikan MISC-MIFA tersingkir ke Liga FAM.

"Namun jika menang, kami juga perlu menanti keputusan perlawanan membabitkan Perlis dan ATM yang juga pesaing terdekat buat pasukan kami bagi mengelak berada di kedudukan kedua terbawah liga.

"Saya yakin komitmen dan kesungguhan tinggi pemain untuk beraksi habis-habisan mampu membuahkan kejayaan yang amat diperlukan pada perlawanan itu," katanya.

SUMBER-Juara Liga FAM 2016 itu kini berada di tangga ke-11 dengan 11 mata.

Jumaat, 27 Oktober 2017

Kuala Muda Naza dahului Liga Perdana



ARKIB : 29/01/2008

KUALA LUMPUR - Kuala Muda Naza merampas kedudukan pendahulu bola sepak Liga Perdana selepas menundukkan Proton FC 4-1 di Stadium Darul Aman, semalam.

Wakil Kedah itu berjaya memintas Johor, yang tidak turun beraksi selepas mengumpul 24 mata daripada sembilan perlawanan, hanya satu mata di depan Johor.

KL Plus pula kekal menduduki tangga ketiga liga dengan 19 mata selepas membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 6-0 dalam perlawanan di Stadium MPS, Selayang.

Kelantan bagaimanapun terus mengekori rapat dengan satu mata di belakang selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-1 di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu untuk mengekalkan rekod tanpa kalahnya.

Mohd. Nizad Ayub muncul wira pasukan itu dengan menyumbangkan dua gol pada minit kelima dan ke-63, namun gol pembukaan tuan rumah diperoleh menerusi Jan Necas seawal minit keempat, sebelum Mohd. Aras Abdullah melengkapkan kemenangan pada minit 82.

Sementara itu, jaringan Ahmad Fakri Saarani, ketika saingan tinggal 14 minit untuk ditamatkan membantu Harimau Muda mengikat PKNS 2-2 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Di Stadium Hang Tuah, Melaka gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri apabila tewas 1-2 kepada Kuantan Port Shahzan.

Turut mengalami kekalahan adalah pasukan Felda United, yang tumpas 1-2 kepada Sabah di Kompleks Sukan Tawau.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4wiYNuz98
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 23 Oktober 2017

UPB-MyTeam catat kemenangan kedua




UPB-MYTEAM mencatat kemenangan kedua musim ini apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Miljan Radoic pada minit ke-38 selepas rakannya, Andres Sebastian Romano dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gawang PDRM, Ishak Mad Jalil.

UPB-MyTeam yang merupakan naib juara Liga Perdana musim lepas, melebarkan jaringan pada minit ke-45 menerusi jaringan Muhamad Zambri Chin.

PDRM cuba bangkit pada separuh masa kedua untuk merapatkan jurang tetapi benteng UPB-MyTeam tetap kebal sehingga tamat perlawanan.

UPB-MyTEAM sebelum ini berada di kedudukan kedua terbawah liga selepas hanya menang satu perlawanan, seri dua dan kalah lima kali untuk mengutip lima mata sementara PDRM di tangga kelapan menerusi empat kemenangan, dan tewas empat kali untuk mengutip 12 mata.

Di Stadium Sarawak, tuan rumah mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Pulau Pinang 3-0.

Skuad Bujang Senang menjaringkan gol pembukaan menerusi Shahrol Saperi pada minit ke-14 diikuti jaringan Zamri Morshidi pada minit ke-22.

Gol ketiga Sarawak dijaringkan pemain import, Sylla Mansa minit ke-34.

Di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei DPMM FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri setelah hanya mampu seri 1-1 dengan Terengganu.

Brunei mendahului menerusi Rosmin Khamid yang menjaringkan gol kontroversi pada minit ke-33.

Tersentak dengan jaringan itu Terengganu kembali bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-48.

Pada perlawanan itu, Terengganu beraksi tanpa dua tonggak utama, Gleisson Freire dan Marzuki Yusof yang digantung perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan mengumpul tiga mata penuh setelah membenam Perlis 2-0.

Pasukan tuan rumah yang dikemudi Wan Jamak Wan Hassan, menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-17 menerusi Mohd Aidil Zafuan Abd Razak.

S. Kunalan mengukuhkan kedudukan Negeri sembilan apabila meledak gol kedua pada minit ke-77 bagi mengesahkan mereka meraih tiga mata penuh.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4wKr4g619
Hakcipta terpelihara

Isnin, 16 Oktober 2017

Kedah, Perlis buka tirai Liga M


ARKIB : 02/10/2007
PETALING JAYA - Pertembungan juara Piala Malaysia, Kedah bertemu naib juara Piala FA, Perlis pada perlawanan Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, 17 November ini akan membuka tirai kempen Liga Malaysia musim 2007/08 sambil menyaksikan beberapa perubahan baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh berkata, pertemuan itu akan diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Menurutnya, jadual liga super akan berjalan serentak dengan Piala Sumbangsih manakala Liga Perdana akan memulakan kempen 19 November ini.

‘‘Kempen Liga Super akan berakhir 29 Mac depan manakala Liga Perdana pada 28 Mac, bagi pertandingan Piala FA pula akan bermula pada 11 Disember dan perlawanan akhir pada 31 Mei.

‘‘Saingan Piala Malaysia akan bermula pada 19 April dan perlawanan akhir pula dijadualkan berlangsung pada 21 Jun,’’ katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vgHWN7gp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 13 Oktober 2017

Liga M musim baru mula November



ARKIB : 21/08/2007

PETALING JAYA – Musim baru Liga Malaysia 2007-2008 akan bermula 3 November ini sehingga Jun tahun depan sebagi mematuhi arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mahu menyelaraskan jadual liga tempatan kesemua negara anggotanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, musim Liga Malaysia seterusnya pula akan membuka tirainya pada Ogos 2008 dan berakhir pada Mei 2009.

Secara tradisinya, persaingan Liga Malaysia setiap musim turut akan didahului dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah antara juara Piala Malaysia tahun ini menentang juara Piala FA, Kedah dan jika pemenangnya masih sama, naib juara akan menggantikannya.

‘‘Liga kita musim depan akan menempatkan 15 pasukan dalam Liga Super dan 14 pasukan Liga Perdana. Hanya Melaka selaku pasukan terbawah Liga Super diturunkan ke Liga Perdana musim depan tetapi tiada penurunan sebarang pasukan daripada Liga Perdana ke Liga FAM,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Liga Super 2007-2008 dianggotai Kedah, Perak, DPMM Brunei, Terengganu, Perlis, Johor FC, Telekom, Selangor, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sarawak, Polis dan UPB-MyTeam sementara Melaka, PKNS, Johor-Pasir Gudang, Shahzan Muda, Sabah, Kuala Lumpur, Kelantan, Angkatan Tentera, Kuala Muda, PLUS Kuala Lumpur mewakili Liga Perdana.

Turut dinaikkan daripada Liga FAM musim ini sebagai muka baru Liga Perdana musim depan ialah empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala FAM termasuk juaranya Proton yang menewaskan Baverly Kota Kinabalu 4-2 pada perlawanan akhir di Kuala Lumpur, Sabtu lalu selain Felda United dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

‘‘Jawatankuasa menjadikan 14 pasukan bagi Liga Perdana dan tidak menurunkan sesiapa kerana kami mahukan negeri mengadakan liga sendiri di kalangan kelab mereka dengan juaranya akan dipilih sebagai wakil ke Liga FAM musim depan,” katanya yang juga Naib Presiden FAM.

Sementara itu, beliau berkata, Majlis FAM yang dipengerusikan Presidennya, Sultan Ahmad Shah di sini, kelmarin turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Wanita yang bertujuan memantapkan pembangunan sukan ini di kalangan golongan tersebut.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vOyrsxmY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 4 Oktober 2017

Liga Super kembali sengit



ARKIB : 01/08/2007

KUALA LUMPUR – Demam bola sepak Piala Asia sudah berakhir dengan Iraq ditabalkan selaku juara dan sesengit kejohanan ulung di rantau ini berlangsung selama sebulan begitu juga persaingan merebut mahkota Liga Super yang memulakan aksi malam ini.

Biarpun belum reda dengan kekalahan memalukan skuad bola sepak kebangsaan tersingkir awal selain dimalukan oleh China (5-1), Uzbekistan (5-0) dan Iran (2-0), kempen Liga Super berbaki dua perlawanan bersambung semula itu pastinya terjejas dengan kehadiran penonton yang mungkin akan berkurangan.

Mungkin tidak dengan aksi Perak dan Kedah - dua pasukan yang paling hampir bakal memahatkan gelaran juara Liga Super masih mampu menarik ramai peminat sendiri memenuhi setiap ruang stadium.

Tempoh rehat sebulan saingan Liga Super berhenti seketika, sedikit memberi kelebihan masa yang panjang selepas mengharungi jadual ketat sejak bermulanya kempen Liga Malaysia musim ini.

Tumpuan kini lebih terarah kepada kelibat pendahulu Liga Super, Perak dan juara Piala FA, Kedah yang akan menjadi penentu mahkota kejuaraan Liga Super bakal menjadi milik.

Perak sekadar menjadi pendahulu atas kelebihan perbezaan jaringan dengan Kedah apabila masing-masing terikat dengan 49 mata.

Pertemuan malam ini akan melihat sejauh mana kedua-dua pasukan itu mampu melangkah.

Kedah yang masih segar dengan kemenangan Piala FA selepas menewaskan Perlis 4-2 dalam perlawanan akhir menang menerusi penentuan sepakan penalti pada 30 Jun lalu akan berdepan Negeri Sembilan Naza di tempat sendiri malam ini.

Manakala Perak pula akan melayani kunjungan pasukan tangga ketiga Terengganu di Stadium Perak.

Dua pertemuan yang menjadi perbualan tanpa mengambil kisah empat lagi pertemuan malam ini iaitu Selangor berdepan Telekom Melaka, Perlis bertemu Melaka, Johor FC menentang Sarawak dan Pulau Pinang menanti kunjungan Brunei DPMMM.

Apa pun, persaingan yang diharungi oleh Perak dan Kedah lebih mencuri tumpuan ketika pasukan lain sekadar menamatkan saingan melengkapkan jadual yang sudah diatur.

Untuk mengharungi perlawanan getir malam ini sudah pastinya dua jurulatih Mohd. Azrai Khor Abdullah dan Steve Darby mempunyai ramuan tersendiri untuk merealitikan impian tiga mata penuh.

Buat kedua-dua pasukan pastinya tidak rela tewas di gelanggang sendiri, jika terjadi pastinya langkah sumbang untuk bergelar juara pasti tergugat.

Jika mereka turut memahatkan kemenangan, penentuan terakhir menutup kempen Liga Super Sabtu ini bakal menjadi penentu.

Perak dan Kedah akan mengharungi perlawanan terakhir apabila bermain di tempat lawan.

Jika menang masing-masing akan terikat dengan 55 mata dan pastinya perbezaan jaringan gol akan menjadi penentu mutlak untuk bergelar juara Liga Super musim 2006/07.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uYSpwd9B
© Utusan Melayu (M) Bhd