ARKIB : 01/08/2007
KUALA LUMPUR Demam bola sepak
Piala Asia sudah berakhir dengan Iraq ditabalkan selaku juara dan sesengit
kejohanan ulung di rantau ini berlangsung selama sebulan begitu juga persaingan
merebut mahkota Liga Super yang memulakan aksi malam ini.
Biarpun belum reda dengan
kekalahan memalukan skuad bola sepak kebangsaan tersingkir awal selain
dimalukan oleh China (5-1), Uzbekistan (5-0) dan Iran (2-0), kempen Liga Super
berbaki dua perlawanan bersambung semula itu pastinya terjejas dengan kehadiran
penonton yang mungkin akan berkurangan.
Mungkin tidak dengan aksi Perak
dan Kedah - dua pasukan yang paling hampir bakal memahatkan gelaran juara Liga
Super masih mampu menarik ramai peminat sendiri memenuhi setiap ruang stadium.
Tempoh rehat sebulan saingan
Liga Super berhenti seketika, sedikit memberi kelebihan masa yang panjang
selepas mengharungi jadual ketat sejak bermulanya kempen Liga Malaysia musim
ini.
Tumpuan kini lebih terarah
kepada kelibat pendahulu Liga Super, Perak dan juara Piala FA, Kedah yang akan
menjadi penentu mahkota kejuaraan Liga Super bakal menjadi milik.
Perak sekadar menjadi pendahulu
atas kelebihan perbezaan jaringan dengan Kedah apabila masing-masing terikat
dengan 49 mata.
Pertemuan malam ini akan
melihat sejauh mana kedua-dua pasukan itu mampu melangkah.
Kedah yang masih segar dengan
kemenangan Piala FA selepas menewaskan Perlis 4-2 dalam perlawanan akhir menang
menerusi penentuan sepakan penalti pada 30 Jun lalu akan berdepan Negeri
Sembilan Naza di tempat sendiri malam ini.
Manakala Perak pula akan
melayani kunjungan pasukan tangga ketiga Terengganu di Stadium Perak.
Dua pertemuan yang menjadi
perbualan tanpa mengambil kisah empat lagi pertemuan malam ini iaitu Selangor
berdepan Telekom Melaka, Perlis bertemu Melaka, Johor FC menentang Sarawak dan
Pulau Pinang menanti kunjungan Brunei DPMMM.
Apa pun, persaingan yang
diharungi oleh Perak dan Kedah lebih mencuri tumpuan ketika pasukan lain
sekadar menamatkan saingan melengkapkan jadual yang sudah diatur.
Untuk mengharungi perlawanan
getir malam ini sudah pastinya dua jurulatih Mohd. Azrai Khor Abdullah dan
Steve Darby mempunyai ramuan tersendiri untuk merealitikan impian tiga mata
penuh.
Buat kedua-dua pasukan pastinya
tidak rela tewas di gelanggang sendiri, jika terjadi pastinya langkah sumbang
untuk bergelar juara pasti tergugat.
Jika mereka turut memahatkan
kemenangan, penentuan terakhir menutup kempen Liga Super Sabtu ini bakal
menjadi penentu.
Perak dan Kedah akan
mengharungi perlawanan terakhir apabila bermain di tempat lawan.
Jika menang masing-masing akan
terikat dengan 55 mata dan pastinya perbezaan jaringan gol akan menjadi penentu
mutlak untuk bergelar juara Liga Super musim 2006/07.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4uYSpwd9B
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan