Isnin, 23 Oktober 2017

UPB-MyTeam catat kemenangan kedua




UPB-MYTEAM mencatat kemenangan kedua musim ini apabila menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Miljan Radoic pada minit ke-38 selepas rakannya, Andres Sebastian Romano dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gawang PDRM, Ishak Mad Jalil.

UPB-MyTeam yang merupakan naib juara Liga Perdana musim lepas, melebarkan jaringan pada minit ke-45 menerusi jaringan Muhamad Zambri Chin.

PDRM cuba bangkit pada separuh masa kedua untuk merapatkan jurang tetapi benteng UPB-MyTeam tetap kebal sehingga tamat perlawanan.

UPB-MyTEAM sebelum ini berada di kedudukan kedua terbawah liga selepas hanya menang satu perlawanan, seri dua dan kalah lima kali untuk mengutip lima mata sementara PDRM di tangga kelapan menerusi empat kemenangan, dan tewas empat kali untuk mengutip 12 mata.

Di Stadium Sarawak, tuan rumah mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Pulau Pinang 3-0.

Skuad Bujang Senang menjaringkan gol pembukaan menerusi Shahrol Saperi pada minit ke-14 diikuti jaringan Zamri Morshidi pada minit ke-22.

Gol ketiga Sarawak dijaringkan pemain import, Sylla Mansa minit ke-34.

Di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, Brunei DPMM FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri setelah hanya mampu seri 1-1 dengan Terengganu.

Brunei mendahului menerusi Rosmin Khamid yang menjaringkan gol kontroversi pada minit ke-33.

Tersentak dengan jaringan itu Terengganu kembali bangkit dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-48.

Pada perlawanan itu, Terengganu beraksi tanpa dua tonggak utama, Gleisson Freire dan Marzuki Yusof yang digantung perlawanan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Negeri Sembilan mengumpul tiga mata penuh setelah membenam Perlis 2-0.

Pasukan tuan rumah yang dikemudi Wan Jamak Wan Hassan, menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-17 menerusi Mohd Aidil Zafuan Abd Razak.

S. Kunalan mengukuhkan kedudukan Negeri sembilan apabila meledak gol kedua pada minit ke-77 bagi mengesahkan mereka meraih tiga mata penuh.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0120&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4wKr4g619
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan