Kongsi artikel
NOR Farhan hanya mampu duduki
tempat keenam dalam senarai 10 penjaring terbanyak Liga Super musim lalu.
RAMAI yang memperkatakan tunjang
kekuatan sesebuah pasukan bola sepak terletak pada ketajaman barisan hadapan
untuk menjaringkan gol.
Selain itu, turut memainkan
peranan penting ialah kekebalan barisan pertahanan dan kebolehan barisan tengah
untuk membuat umpanan yang menarik serta membaca gerakan lawan.
Mungkin ada betulnya
memandangkan kebanyakan pasukan Liga Malaysia (Liga M) lebih gemar membeli
pemain import untuk dijadikan mesin pencetak gol pasukan masing-masing.
Sejumlah 40 gol dihasilkan
dalam 12 perlawanan pertama Liga M musim lalu. Statistik menunjukkan barisan
pemain awang import memonopoli senarai penjaring terbanyak dengan 24 gol
manakala pemain tempatan hanya mampu meraih 11, tidak termasuk 5 jaringan pemain
Lions XII.
Persoalan di sini, semakin
tumpulkah penyerang tempatan kita? Di mana perginya penyerang bola sepak negara
yang satu ketika dulu amat digeruni pasukan-pasukan dari rantau Asia?
Adakah statistik penjaring Liga
M 2014 bakal berulang?
Di sebalik 731 jaringan yang
berjaya dihasilkan sepanjang kempen Liga Super dan Perdana 2014, pemain
tempatan hanya mampu menjaringkan 395 gol.
Kita hanya berbangga dengan Nor
Farhan Mohamed dan S Chanturu dalam kedudukan 6 dan 7 senarai 10 penjaring
terbanyak Liga Super dengan masing-masing menyumbat 7 dan 5 gol manakala Liga
Perdana menyaksikan pemain senior, Indra Putra Mahyudin (10 gol) di tempat ke 8
dan Bobby Gonzales (8 gol) tempat ke 9.
Sindrom 'gerhana gol'
Mana perginya nama-nama besar
seperti Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Manaf Mamat, Norshahrul Idlan Talaha,
Tamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri? Adakah sindrom `gerhana gol' melanda
penyerang negara dalam Liga M?
Selepas kejayaan Indra meraih
gelaran Kasut Emas Liga Super 2004, belum ada lagi anak tempatan yang berjaya
meraih gelaran itu sehingga sekarang.
Faktor ini sedikit sebanyak
memberi impak kepada pasukan kebangsaan di arena antarabangsa. Ketumpulan
barisan depan telah banyak kali menggagalkan skuad Harimau Malaya. Ini terbukti
pada Piala Suzuki AFF 2014 walaupun Malaysia berjaya menjadi naib juara.
Pemain tengah, Safiq Rahim
dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 4 gol manakala Safee,
Norsharul dan Amri hanya mampu sekali menemui jaring.
Senario yang jauh berbeza
apabila pengambilan pemain import dimansuhkan pada tahun 2009 menyaksikan Safee
Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak pada edisi 2010 dan seterusnya
menjadi penyerang terbaik Asia Tenggara.
Safee turut ditawarkan kontrak
lumayan untuk beraksi dengan pasukan Liga Super Indonesia, Pelita Jaya FC.
Mungkin sudah tiba masanya
untuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan semua pasukan yang bertanding
melihat kesan negatif yang terhasil daripada penggunaan dua awang import di
bahagian serangan.
Walaupun kemunculan mereka ini
bertujuan untuk memberi pengalaman kepada pemain tempatan, meningkatkan daya
saing pasukan Malaysia di pertandingan peringkat Asia dan menarik kembali minat
pengikut bola sepak tempatan ke stadium, ternyata pemain kita, baik yang senior
mahupun bekas pemain Harimau Muda, gagal mendapat tempat dalam kesebelasan
utama.
Semua pasukan yang bertanding
harus memikirkan masa depan bola sepak Malaysia bukan hanya memikirkan kejayaan
pasukan dalam Liga M semata-mata.
Pendedahan berterusan dalam
setiap perlawanan harus diberikan kepada penyerang muda untuk menggantikan
nama-nama besar seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, James Wong, Hassan Sani,
Matlan Marjan, Datuk M Chandran, Dollah Salleh, Zainal Abidin Hassan dan Safee
serta Norshahrul sendiri.
FAM harus memikirkan satu
mekanisma untuk meningkatkan kesedaran ini dalam kalangan pasukan yang
bertanding walaupun pasukan-pasukan ini mempunyai hak untuk menentukan barisan
pemain yang mereka idamkan.
Jika dibiarkan, tidak mustahil
Malaysia akan ketandusan penyerang yang berbisa untuk membawa cabaran negara di
pentas antarabangsa.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
12 Jun 2016 | 5:09pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan