Ahad, 10 September 2017

Perak, Pahang, Selangor parah



ARKIB : 25/12/2006
Perak, Pahang, Selangor parah

Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Perak bakal mengharungi saingan Liga Super tanpa kelibat lima tonggak utama yang dipanggil untuk menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi persiapan rapi pusingan akhir bola sepak Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai 2007.

Mereka yang terpilih ialah K. Nanthakumar, Chan Wing Hoong, Azlan Zainal, Nasril Nourdin dan S. Subramaniam.

Ketiadaan lima kelibat dalam kesebelasan utama skuad Seladang pastinya menyukarkan jurulatih, Steve Darby ketika saingan Liga Super semakin rancak.

Darby tidak punya banyak pilihan akur melepaskan lima pemain utama mereka kerana misi utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah membentuk skuad paling mantap menghadapi Piala Asia, Julai nanti.

Nasib yang serupa turut dialami oleh juara Piala FA, Pahang apabila empat pemain utama mereka, Irwan Fadli Idrus, Rosdi Talib, Hairuddin Omar dan Norhafiz Misbah turut berada dalam senarai.

Selangor yang mahu bangkit selepas persembahan malap pada musim 2005/2006 turut tersentak kehilangan empat tonggak iaitu ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan, Syed Adney, Safiq Rahim dan Mohd. Fadzli Saari.

Selangor yang dibarisi sebahagian besar pemain bawah 23 tahun kini menduduki tangga kedua selepas menewaskan Brunei 2-1 kelmarin, pastinya gelisah tanpa empat tonggak tersebut.

Kesemua pemain Perak, Selangor dan Pahang adalah sebahagian daripada 30 anggota skuad bola sepak kebangsaan yang akan menggalas cabaran negara bersaing dalam Kumpulan C bersama-sama Iran, Uzbekistan dan China.

Kesemua pemain kebangsaan akan melapor diri dalam masa terdekat ini di Wisma FAM bukan setakat menghadapi Piala Asia tetapi juga mengharungi Kejohanan Piala AFF di Bangkok dari 12 Januari hingga 4 Februari 2007.

Pada Kejohanan Piala AFF, anak didik Norizan Bakar diletakkan bersaing dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand, Myanmar dan Filipina.

Pentas saingan di Piala AFF adalah medan ujian dan persiapan rapi skuad bola sepak kebangsaan untuk mencipta kejutan di Piala Asia, Julai depan.

Turut tersentak kehilangan pemain utama ialah juara Piala Sumbangsih, Perlis apabila ketua pasukan, Fauzi Nan serta Azizi Mat Rose dan Azi Shahril Azmi akan turut meninggalkan skuad Singa Utara untuk tempoh hampir sebulan.

Kedah yang terumbang-ambing turut akan merasa kehilangan tiga pemain utama mereka terdiri daripada Khyril Muhymeen Zambri, V. Thirumurugan dan Saramsak Kram.

Naib juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan yang turut terumbang-ambing kehilangan tiga tonggak iaitu Rezal Zambery Yahya, Azizon Kadir dan Norshahrul Idlan Talaha.

Skuad Liga Perdana UPB FC/My Team terpaksa melepaskan dua tonggak utama ketua pasukan Muhammad Kaironnisam Shahabudin dan pemain veteran Nizaruddin Yusof.

Turut dipanggil ialah Mohd. Syamsuri Mustafa, Norfarhan Mahmood (Terengganu); Hardi Jaafar (Telekom Melaka), Ronny Harun (Sabah) dan Eddy Helmi (Johor FC)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sHafwpWV
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan