ARKIB : 07/01/2007
PENYERANG Perlis, Phillimon
Chipeta (kanan) diasak oleh pemain pertahanan Sarawak, Irwandy Jempaka pada
saingan bola sepak Liga Super di Stadium Sarawak, Kuching, malam tadi. Gambar
ZUL AZHAR SHEBLEE.
KUALA LUMPUR Terengganu
mencerahkan kedudukan mereka untuk merampas tempat Perlis sebagai pendahulu
Liga Super apabila menewaskan Selangor 1-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, semalam.
Kemenangan itu meletakkan skuad
Penyu kini hanya dipisahkan dengan satu mata dengan Perlis tetapi skuad Singa
Utara itu masih bertahan di puncak liga dengan 14 mata.
Gol tunggal Terengganu semalam
dijaringkan Fabio Flor pada minit ke-32 dan mereka berpeluang memintas Perlis
apabila dua pasukan teratas itu bertemu di Kangar, Rabu ini.
Terengganu yang masih beraksi
kurang satu perlawanan berbanding Perlis berjaya merapatkan jurang perbezaan
mata selepas skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu sekadar mampu seri 2-2
dengan Sarawak di Stadium Sarawak, Kuching.
Walaupun Perlis selesa
mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Amar Rohidan (m-42) dan
Philimon Chipeta (m-44) tetapi mereka gagal mempertahankan kedudukan itu di
babak kedua.
Ini selepas pasukan tuan rumah
bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Zulmizan Bujang (m-51) dan
Zamri Morshidi (m-75).
Pahang pula melonjak ke tangga
ketiga liga dengan memintas Selangor hasil kejayaan menewaskan Negeri Sembilan
1-0 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Gol kemenangan Pahang
dijaringkan pemain import mereka, Peter Patric Juma pada minit ke-60 sekaligus
membangkitkan lagi kemarahan penyokong Negeri Sembilan yang naik angin
semalam dengan mendesak jurulatih, Hatem Soussi dipecat.
Jika prestasi Negeri Sembilan
semakin membimbangkan, nasib Melaka pula tambah parah apabila dibelasah 4-0
oleh Brunei DPMM di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah untuk terus menghuni tempat
tercorot liga.
Sharizan Mat Said membuatkan
Melaka menderita dengan melakukan hatrik pada minit ke-40, 59 dan 61 manakala
satu lagi gol Brunei dijaringkan Viban Francis Bayong minit ke-34.
Di Stadium Perak, Ipoh, tuan
rumah gagal mengambil kesempatan ke atas lawan mereka, Pulau Pinang yang
bermain 10 orang apabila hanya mampu seri 0-0.
Walaupun selepas Md. Suhaidi
Akmal dibuang padang pada minit ke-63 serta jurulatihnya, Josef Herel diarah
keluar oleh pengadil, Perak masih buntu mencari gol yang dicari-cari.
Kedah yang masih segar dengan
kemenangan 4-3 ke atas Perak Rabu lalu, meneruskan aksi cemerlang mereka dengan
menewaskan Johor FC 2-1 dalam perlawanan di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
Gol Kedah dijaringkan Marlon
James pada minit ke-35 dan Kanasian Soley minit ke-45 manakala gol tunggal tuan
rumah dijaringkan Azizan Baba minit ke-64.
Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sYxqajUo
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan