Sabtu, 23 September 2017

UPB-MyTeam tetap unggul



 
ARKIB : 04/04/2007
Penyerang import Shahzan Muda, Victor Alejandro Gonzalez (terduduk) diasak tiga pemain Sabah dalam perlawanan bola sepak Liga Perdana di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam. Kedua-dua pasukan terikat 0-0. – Gambar RUSHDI SALLEH.

KUALA LUMPUR – Teraju persaingan bola sepak Liga Perdana kekal milik UPB-MyTeam selepas gol pemain importnya, Mijo Dadic membantu mengikat Johor-Pasir Gudang 1-1, semalam.

UPB-MyTeam mengumpul 21 mata hasil jaringan penyamaan pada minit ke-26 di Stadium Shah Alam itu biarpun pelawat mengejutkannya dengan gol Mohd. Syukri Ismal, enam minit sebelumnya.

Keputusan seri oleh anak buah Bojan Hodak itu bagaimanapun cuma menjarakkan mereka dengan dua mata daripada pencabar di tangga kedua, Polis yang tidak bermain semalam.

PKNS pula merapati Polis di tempat ketiga selepas menewaskan KL PLUS 3-1 di Stadium Petaling Jaya sekali gus mengumpul 16 mata daripada 10 perlawanan setakat ini.

Persembahan hambar Shahzan Muda dengan Sabah sepanjang 90 minit pula berkesudahan mereka terikat tanpa jaringan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Ia bererti kelab tuan rumah bimbingan Tajuddin Nor itu masih tidak berganjak di tangga keempat liga selepas mengumpul 13 mata tetapi membuka peluang kepada Kelantan untuk memintasnya, tidak lama lagi.

Kesempatan buat Kelantan terhidang selepas membenam Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sekali gus berjaya mengumpul 12 mata dan melonjak ke tangga kelima.

Angkatan Tentera turut melonjak dari tangga kedua terbawah hasil jaringan tunggal Steven Nod pada minit ke-23 yang membenam Kuala Muda Kedah 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tVVIt0NY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan