ARKIB : 24/03/2007
TONGGAK KL Plus, Martin Carlos
Dell Avanzatto (kiri) mengasak pemain UPB-MyTeam, Mijo Dadic (kanan) dalam
saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Shah Alam, malam tadi.
KUALA LUMPUR UPB/MyTeam terus
mengungguli kedudukan tangga teratas apabila berjaya menewaskan KL Plus 1-0
dalam saingan bola sepak Liga Perdana di Stadium Shah Alam, semalam.
Kemenangan keenam daripada
lapan perlawanan memastikan UPB/MyTeam mengutip 20 mata dengan kelebihan empat
mata untuk mengatasi Polis yang berada di tangga kedua.
Gol kemenangan UPB/MyTeam
dijaringkan oleh pemain import, Dejan Milajnic pada minit ke-28.
Milajnic mendapat hantaran jauh
Marin Mikac dan berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum mudah menolak masuk
menewaskan penjaga gol KL Plus.
Di Stadium Darul Makmur,
Kuantan, Shahzan Muda mengutip tiga mata penuh sambil berpesta gol menewaskan
Kelantan 5-1. Victor Alejandro Gonzalez meledakkan dua jaringan pada minit
ketujuh dan 33 mengejutkan Kelantan.
Dua gol Shahzan Muda menerusi
Mohd. Sarulnazwan Ibrahim pada minit 12 dan 50 menjadikan kedudukan 4-0 terus
menenggelam kekuatan Kelantan dan tuan rumah menambah gol kelima hasil jaringan
Abdulafees Abdul Salam di minit ke-42.
Sementara gol saguhati Kelantan
dijaringkan oleh Amini Ahmad Tabarani pada minit ke-51.
Di Stadium MBPJ Kelana Jaya,
penyerang import Roman Chimelo muncul hero apabila menjaringkan gol kemenangan
membantu PKNS meraih tiga mata penuh menewaskan Kuala Muda Naza 2-1.
Kemenangan itu membolehkan PKNS
mengutip 12 mata untuk berada di tangga ketiga. Tuan rumah membuka jaringan
awal mendahului Kuala Muda Naza 1-0 hasil jaringan Mohd. Alopi Mahmud pada
minit ke-40.
Pada babak kedua Kuala Muda
Naza yang ketinggalan 0-1 terus menggandakan asakan bertubi kali ke kubu PKNS
dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Shahrizat Mat Rani
pada minit ke-54.
Bagaimanapun pelawat dikejutkan
dengan gol kedua PKNS menerusi jaringan Chimelo pada minit ke-78.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tPsZasbb
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan