MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perubahan corak permainan yang diterapkan oleh pengendali sementara Selangor, Michael Feichtenbeiner dengan menekankan gaya 'transition football' akhirnya membuahkan hasil apabila Red Giants 'mengamuk' membelasah PDRM 7-0.
Kejayaan mengutip tiga mata di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam adalah kemenangan pertama menerusi jumlah jaringan yang besar musim ini buat pasukan Selangor.
Feichtenbeiner yang mengambil tanggungjawab daripada B Sathianathan dua minggu lalu nyata berjaya mengubah permainan pasukan dan beliau mengakui berpuas hati dengan komitmen anak didiknya itu.
"Dua perlawanan di bawah kendalian saya setakat ini, kami sudah menjaringkan sepuluh gol. Inilah DNA bola sepak yang saya cuba terapkan dalam permainan Selangor.
"Falsafah bola sepak saya berteraskan corak permainan menyerang serta 'transition football' dan ia bagus untuk pemain yang memiliki mentaliti serangan kerana ia boleh mencipta banyak peluang jaringkan gol," kata jurulatih dari Jerman itu.
Dalam aksi itu, Sean Selvaraj dan Ifedayo Olusegun masing-masing menyumbang dua gol sementara tiga lagi gol menerusi Brendan Gan, Safuwan Baharudin dan Rufino Segovia.
Jelasnya lagi, beliau mahu barisan pemain meneruskan momentum kemenangan pada aksi terakhir Liga Super menentang Felda United di Stadium Mini UiTM Shah Alam, Sabtu ini.
Bagaimanapun, Feichtenbeiner mengakui pemainnya lambat panas terutama pada permulaan separuh masa kedua dan situasi itu sedikit membimbangkannya.
"Kami sering berdepan masalah pada 15 minit pertama separuh masa kedua. Sekiranya berdepan pasukan lebih kuat, kami mungkin berdepan masalah dibolosi satu atau dua gol.
"Saya fikir ia berpunca daripada keadaan fizikal dan mental pemain. Situasi sama turut berlaku pada minggu lalu, jadi saya perlu cari jalan penyelesaian segera," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:13 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan