Ahad, 4 Oktober 2020

Melaka mohon tukar venue menentang Kedah

MyMetroArena



BERNAMA

Melaka: Kerajaan negeri Melaka memohon pengurusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menukar venue aksi Liga Super antara Melaka United (MU) dan Kedah, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada Ahad ini.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka Rahmad Mariman berkata, langkah itu ekoran situasi pandemik Covid-19 di Kedah semakin membimbangkan, dan negeri itu antara yang mencatatkan kes tertinggi selain mempunyai beberapa kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata usaha itu juga bagi mengurangkan risiko jangkitan dan penularan pandemik Covid-19, selain bertujuan menjaga keselamatan pemain serta rakyat negeri Melaka.

"Saya selaku Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka memohon MFL agar menimbang semula venue perlawanan Melaka United dan Kedah dan menukarnya ke venue yang berkecuali (bebas Covid-19) atau negeri lain dan saya syorkan ia ditukar ke Perak.

"Saya difahamkan pasukan Melaka United akan memulakan perjalanan ke Kedah hari ini dan berada di sana selama tiga hari, namun saya bagi pihak kerajaan negeri Melaka bimbang dengan pemergian pasukan itu ke Kedah terhadap risiko ini," katanya pada sidang media berkaitan perkembangan situasi Covid-19 di Melaka, hari ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Rahmad Mariman. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Dua hari lepas, media melaporkan aksi Liga Super antara Kedah dan Melaka United yang dijadualkan di Stadium Darul Aman yang sepatutnya berlangsung pada hari ini, dipinda ke Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan daripada Melaka United, yang sedang menjalani proses kuarantin sejak Isnin, selepas pulang dari Sabah.Beliau dipetik sebagai berkata selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Liga Malaysia (Liga M), perubahan tarikh itu membolehkan Melaka United memiliki tempoh melakukan persiapan, memandangkan mereka hanya dibenarkan mengadakan sesi latihan, semalam.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 7:06 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan