Sabtu, 10 Oktober 2020

Hatrik Ifedayo cetus pesta gol Selangor

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Shah Alam: Sentuhan pengendali sementara Selangor, Michael Feichtenbeiner nyata benar-benar menjadi apabila Red Giants berjaya mencatat kemenangan besar kali kedua berturut-turut apabila menewaskan Felda United 6-1 sebentar tadi.

Ia hadir selepas kemenangan besar 7-0 ke atas PDRM FC minggu lalu ketika Feichtenbeiner baru sahaja mengambil alih pasukan daripada B Sathianathan hujung bulan lalu.

Pada aksi di Stadium Mini UiTM Shah Alam itu, anak buah Feichtenbeiner mendahului 1-0 hasil percubaan Brendan Gan pada minit ke-13 selepas menerima hantaran cantik Sandro da Silva.

Begitupun, kelebihan berkenaan pantas dipadam Felda pada minit ke-32 menerusi bekas pemain skuad bawah 23 tahun negara, Danial Amier hasil serangan kilat ke kubu tuan rumah.

Ketika aksi menuju waktu rehat, penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun kembali meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-44.

Ifedayo yang turut bersaing merebut anugerah Kasut Emas musim ini terus menampilkan ketajamannya apabila meledak gol ketiga di minit 62, sebelum Sandro menambah dua lagi gol di minit 69 dan 78.

Ifedayo terus membuktikan bisanya apabila meledak hatrik di minit 88 untuk meletakkan skuad Red Giants selesa mendahului 6-1 sekali gus berpeluang cerah dinobatkan penjaring terbanyak dengan mengumpul 12 gol.

Keputusan perlawanan Liga Super :

Selangor 6 Felda United 1

PJ City 4 PDRM 1

Melaka 0 JDT 5

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2020 @ 11:16 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan