SUKAN
Safawi Rasid bakal tinggalkan skuad gergasi JDT selepas membantu Harimau Selatan rangkul kejuaraan Liga Super kali ketujuh berturut-turut malam tadi. Foto JOHOR SOUTHERN TIGERS
Safawi Rasid bakal tinggalkan JDT
Oleh KOSMO!
3 Oktober 2020, 12:25 pm
Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut merupakan satu detik penuh emosi buat pasukan Johor Darul Ta’zim.
Pengendalinya, Benjamin Mora memberitahu, antara yang membangkitkan perasaan itu termasuklah persoalan berhubung masa depan ayam tambatan mereka, Safawi Rasid.
Menurutnya, pihaknya sendiri tidak tahu bilakah kali terakhir pemain tersebut akan menyarung jersi Harimau Selatan.
“Malam ini (semalam) penuh emosi, kita mahu memastikan kemenangan dalam perlawanan akhir liga selaku tuan rumah dan merangkul kejuaraan Liga Super kali ketujuh selain memikirkan Safawi akan meninggalkan kita.
“Kami akan tunggu apa juga keputusannya nanti kerana kita tidak tahu bila dia akan berlepas ke luar negara, tetapi itu merupakan satu perkara baik buat kariernya dalam bola sepak profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam semalam selepas pasukan menundukkan Sabah 4-1 dan dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini.
Selepas perlawanan semalam, Safawi turut kelihatan memakai baju tertera tulisan ‘I will miss JDT Family’ (Saya akan merindui keluarga JDT) menguatkan lagi khabar angin perpindahannya untuk menyertai kelab Portugal, Portimonense SC.
Sementara itu, Mora turut memberitahu kejayaan memenangi perlawanan semalam tidak semudah yang disangka atas beberapa faktor.
“Kemenangan ini bukan mudah, Sabah semalam bermain dengan mentaliti untuk bertahan dan mencari peluang untuk melakukan serangan balas pantas.
“Pada awal permainan agak sukar bagi kami untuk menembusi pertahanan mereka, namun setelah berjaya mendapatkan jaringan pertama, barulah kami berjaya mengawal permainan,” ujarnya.SUMBER-K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan