Selasa, 20 Disember 2016

Buruan mata buat Perdana Satu hangat

MEI 2000
ARKIB : 06/05/2000
PEMBURUAN mata menjadikan aksi bola sepak Perdana Satu lebih menarik, penuh dengan aksi mendebarkan khususnya bagi pasukan teratas yang mengimpikan kemenangan dalam perlawanan malam ini.

Pendahulu carta Perdana Satu, Negeri Sembilan (11 mata) mengharapkan kemenangan ke atas Johor di gelanggang sendiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, untuk mengekalkan kedudukannya.

Namun Johor yang menduduki tangga kelapan (6 mata) daripada 12 pasukan pasti tidak boleh lagi bersabar untuk mencari kedudukan lebih baik sehingga menjanjikan saingan lebih sengit ke atas Rusa.

Begitu juga Pulau Pinang yang melonjak ke tangga ketiga mengumpul sembilan mata menerusi kejayaan menewaskan Selangor 3-0 di Stadium Bandaraya, Selasa lalu.

Pastinya, kemenangan itu melonjak semangat anak-anak buah Irfan Bakti untuk terus memastikan kemenangan berterusan biarpun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bagi menghadapi pasukan tuan rumah Terengganu.

Di gelanggang sendiri, Terengganu akan mengekang kemaraan Pulau Pinang yang semakin selesa membuka jaringan menerusi Hasmawi Hassan, R. Suresh Kumar dan Ooi Hoe Guan.

Stadium Utama, Kangar pula tetap meniupkan semangat ''Singa Utara'' untuk skuad Perlis yang dibimbing jurulatih Tajuddin Nor berdepan Brunei.

Hasrat mendapatkan mata penuh turut diimpikan Brunei, juara Piala Malaysia tahun lalu yang sudah tentu ingin memperbaiki kedudukannya selepas menghuni tangga tercorot dengan mengutip hanya satu mata.

Sementara, perlawanan di antara Pahang dengan Kuala Lumpur dijangka penuh dengan saingan mendebarkan sebaik kedua-dua pasukan bertemu di Stadium Darulmakmur.

Tentunya Pahang yang memulakan kempen awal Perdana Satu dengan persembahan merosot ingin mengembalikan kecemerlangan selaku juara Perdana Satu 1999.

Sentuhan penyerang Azizul Kamaluddin diimpikan penyokong setia skuad ''Tok Gajah'' tetapi lawan dihadapi bukannya pasukan belasahan kerana Kuala Lumpur kini merupakan di antara pencabar digeruni apatah lagi mempunyai penyerang kebangsaan Nizaruddin Yusof yang bergandingan mantap dengan Mohd. Farid Dewam.

Walaupun masih banyak lagi perlawanan bakal dihadapi, aksi malam ini tetap menuntut Pahang supaya bermain dengan lebih baik untuk mengejar semula kedudukan teratas sebelum terlewat setelah tersingkir ke tangga sembilan dengan mengumpul lima mata.

Pertemuan antara ''Seladang'' dengan Sarawak juga bakal menyaksikan corak serangan pantas daripada kedua-dua pasukan yang bersaing di Stadium Perak.

Perak dibarisi ramai pemain handalan seperti Azrul Amri Burhan dan tonggak skuad kebangsaan, Syamsol Saad, Ahmad Shahrul Azhar serta V. Saravanan menghadapkan kemenangan selepas menewaskan Brunei 3-2 di Bandar Seri Begawan.

Oleh: ZAINOL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TSJcFXmk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan