ARKIB : 06/03/2000
PERTANDINGAN bola sepak Liga
Malaysia memerlukan perubahan drastik bagi meningkatkan semula imej dan mutunya
sejajar dengan prestasi terkini sukan itu di negara ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah berkata, perubahan itu perlu kerana ia mampu
menjamin pembangunan serta mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.
''Perubahan yang akan
dilaksanakan adalah berhubung pengurusan pasukan yang mana pegawai-pegawai yang
dinamik dan profesional diperlukan untuk menerajui sesebuah pasukan pada
peringkat negeri.
''Jika ia berjaya dipenuhi,
imej liga akan berubah dan mampu melahirkan pemain lebih berkualiti dan
berkemampuan,'' katanya.
Sultan Ahmad berkata demikian
ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Pegawai-Pegawai Pasukan Liga
Malaysia 2000 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Bengkel itu dihadiri semua
pengurus, jurulatih, pentadbir dan pegawai perubatan pasukan Liga Malaysia
musim ini.
Tujuan bengkel itu adalah untuk
memberikan pengetahuan khusus berhubung peraturan serta keputusan FAM dalam
pengelolaan pertandingan.
Menurut beliau, pasukan-pasukan
negeri dalam Liga Perdana pada masa akan datang perlu diuruskan
syarikat-syarikat yang memiliki sumber kewangan dan pengurusan yang kukuh.
''Ia sekali gus dapat memberi
banyak ruang kepada pasukan itu untuk berusaha serta mampu berdiri di atas kaki
sendiri tanpa bergantung kepada bantuan FAM,'' katanya.
Beliau menambah, langkah
seumpama itu telah lama diamalkan di negara-negara Eropah, Jepun dan Korea
Selatan dan jelas ia memberi kesan positif terhadap pembangunan bola sepak
mereka.
''Saya percaya dengan
pengurusan yang profesional dan dinamik, kualiti bola sepak dalam liga dapat
dipertingkatkan kerana semua pihak akan berusaha untuk mendapat tempat
terbaik,'' katanya.
FAM sebelum ini berkata,
subsidi penuh kepada persatuan negeri yang diterima mereka tidak akan dapat
dinikmati lagi tahun depan setelah langkah itu tidak banyak membawa perubahan
ke arah pembangunan bola sepak negara.
Bagaimanapun, jika persatuan
negeri mahu terus menerima subsidi berkenaan, mereka hendaklah membuktikan
kemampuan masing-masing kerana pada musim depan jumlah subsidi yang bakal
diberikan bergantung kepada prestasi sesebuah pasukan itu.
Sultan Ahmad berkata, FAM akan
melakukan perubahan terhadap pengelolaan pertandingan yang hala tujunya tertumpu
kepada pembangunan.
''Ia akan dikaji dan
dibincangkan oleh Majlis FAM dengan harapan dapat mencapai matlamat yang telah
ditetapkan,'' katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4T3kZ8LBx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan