ARKIB : 14/04/2000
KEMPEN bola sepak Liga Perdana
2000 membuka tirai dengan Perdana Dua, yang sebahagian besar dibarisi pasukan
kelab, memulakan aksi malam ini manakala Perdana Satu, kesemuanya pasukan
negeri bertarung esok, lapor JOHARI SHAWAL.
Sesudah setakat mampu pergi
sehingga pusingan kedua dalam Piala FA yang kini di peringkat suku akhir,
pasukan kelab sebenarnya menjadi halangan utama kepada pasukan negeri dalam
Perdana Dua, yang harus bersedia diconteng aib dalam kempen musim ini.
Piala FA juga telah
menyerlahkan kehebatan pasukan kelab ini, cuma pengalaman memisahkan mereka
dengan pasukan negeri.
Pasukan JKR Kelantan paling
menonjol apabila mengejutkan pasukan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan
pertama pusingan kedua, sebelum tunduk menyerah kalah 5-1 pada perlawanan kedua
untuk memberi laluan kepada Rusa mara ke suku akhir.
Tetapi Perlis telah menjadi
mangsa mereka sebelum itu apabila tersingkir awal pada pusingan pertama. Skuad
Tajudin Noor tewas pada kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan lawan dengan
jaringan 2-1.
Telekom Melaka dan Tentera
turut hampir memalukan Kelantan dan Kedah pada pusingan pertama Piala FA.
Telekom Melaka seri 3-3 dengan
Kelantan pada perlawanan pertama sebelum tewas 2-1 pada perlawanan timbal balik
manakala Tentera mengikat Kedah 1-1 pada perlawanan pertama sebelum kecundang
2-0 pada perlawanan kedua.
Statistik ringkas itu mungkin
tidak membabitkan kelab lain, ada antara mereka yang bertemu sesama sendiri
dalam Piala FA sebelum disingkir pasukan negeri pada pusingan kedua, tetapi
mereka bersedia untuk menconteng aib ke atas pasukan negeri dalam kempen liga
kali ini.
Perlis, Kelantan, Kedah dan
Melaka harus sedar mereka kini memikul tugas berat untuk menjaga reputasi
masing-masing mengatasi kekentalan Telekom Melaka, Johor FC, JKR Kelantan, KL
Malay Mail, NS Chempaka dan Tentera yang bersedia membaham mereka.
Johor FC, walaupun tidak lagi
dibimbing Ronald Smith, lebih digeruni berdasarkan kejayaan menduduki tempat
ketiga musim lalu di belakang Johor dan Selangor yang melangkah ke Perdana Satu,
tetapi JKR Kelantan dan Telekom Melaka turut bersedia memberikan saingan.
Pastinya aksi Johor FC-JKR
Kelantan di Stadium Pasir Gudang, Johor Bahru malam ini membayangi empat lagi
perlawanan termasuk Telekom Melaka-Kelantan (Stadium Shah Alam) dan Tentera-Melaka
(Stadium Merdeka).
Aksi Perdana Satu bagaimanapun
sukar diramal kerana semua pasukan kelihatan seimbang. Begitupun juara
bertahan, Pahang berada pada situasi genting ketika ini apalagi sesudah
diaibkan dengan kekalahan 3-0 di tempat sendiri oleh pasukan jiran, Terengganu
dalam suku akhir pertama Piala FA Selasa lalu.
Inilah masa terbaik untuk Pulau
Pinang, naib juara musim lalu dan Negeri Sembilan membalas dendam selepas
dipintas Pahang pada saat akhir kempen 1999.
Namun, kehadiran Johor dan Selangor,
juara dan naib juara Perdana Dua musim lalu, harus tidak dipandang sebelah mata
oleh semua pasukan Perdana Satu termasuk juara Piala Malaysia, Brunei yang
tidak diketahui kekuatannya musim ini.
Usah panik kerana liga baru
bermula. Perjalanan masih jauh dan masih ada kesempatan untuk semua pasukan
memperbetulkan kesilapan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TGtt1Dlw
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan