Isnin, 19 Disember 2016

Tugas berat cari sentuhan awal musim

ARKIB : 18/04/2000
CABARAN awal sudah ditempuhi namun pengalaman dalam saingan pembuka tirai belum melegakan 10 pasukan yang masih mempunyai tugas berat untuk terus menyambung aksi bola sepak Perdana Satu malam ini.

Sekurang-kurangnya perlawanan pertama sebelum ini menjadi ukuran sesebuah pasukan termasuk Perak yang sudah pasti ingin bangkit mencari kemenangan sulung selepas tewas 2-3 kepada Terengganu.

Sehubungan itu, di gelanggang sendiri, Perak akan berusaha untuk menyekat Pulau Pinang tetapi jalan dirintis bukannya mudah kerana skuad ''harimau kumbang'' pernah menewaskan ''seladang'' 1-3 dalam suku akhir pertama Piala FA.

Walaupun saingan berbeza, coran permainan dan kekuatan Pulau Pinang pasti dapat dibaca Perak yang dibarisi pemain kebangsaan, Ahmad Shahrul Azhar, Syamsol Saad, Mohd. Noor Derus dan V. Saravanan.

Sarawak pula bakal berdepan juara Piala Sultan Ahmad Shah (perlawanan Sumbangsih), Kuala Lumpur yang tentunya lebih bersemangat tinggi selepas menjuarai pertandingan tersebut.

Kehandalan penyerang Nizaruddin Yusof yang menjaringkan gol kemenangan ke atas Brunei dalam pertandingan Sumbangsih akan memaksa benteng pertahanan ''Bujang Senang'' bekerja keras sekalipun beraksi di Stadium Sarawak.

Begitu juga Perlis yang menanti kedatangan Terengganu di Stadium Utama, Kangar tetap membayangkan saingan sengit skuad 'Penyu'.

Di Stadium Darulmakmur pula Pahang semestinya mencari kemenangan ke atas Selangor selepas rekod buruk dibenam 1-3 oleh Johor mengundang kemarahan pengurus pasukan Datuk Jamal Nasir Ismail.

Amaran keras bahawa pemain yang tidak mempunyai komitmen akan disingkirkan termasuk amaran terakhir kepada penjaga gawang kebangsaan, Zuraimi Hassan sewajarnya diberi perhatian serius untuk skuad ''tok gajah'' bangkit.

Ini disebabkan Pahang bukanlah pasukan belasahan, malah gelaran skuad elit atau gergasi Pantai Timur menunjukkan betapa pasukan berkenaan perlu disegani.

Walaupun terlalu awal untuk meramalkan kekuatan sebenar Pahang, daripada persediaan rapinya termasuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan, Idris Karim dari Johor dan bekas tonggak Terengganu, Anuar Jusoh, seharusnya ''Tok Gajah'' ''mengamuk'' malam ini atau terus tertekan.

Bagaimanapun, Selangor yang sudah lama mengidam kembali kecemerlangan dalam Liga Malaysia, tetap digeruni kerana mempunyai barisan handalan seperti B. Rajnikandh, Rusdi Suparman dan Zami Mohd. Noor.

Turut menarik perhatian ialah saingan di antara Negeri Sembilan dengan Sabah yang masing-masing mengidam kemenangan selepas hanya mencatat keputusan seri sebelum ini.

Di Stadium Paroi, Sabah seharusnya berwaspada dengan Negeri Sembilan yang menyandarkan harapan kepada panjaring terbanyak Perdana satu 1999, Azman Adnan.

Sementara, juara Piala Malaysia tahun lalu, Brunei yang gagal menyimpan satu lagi piala sebagai koleksi selepas gagal dalam perlawanan Sumbangsih, tetap mahu meneruskan kemaraan apabila berdepan Johor di Di Stadium Hassanal Bolkiah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4THTM27YZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan