Jumaat, 22 Disember 2017

Gara-gara kenyataan dalam akhbar, Reduan digantung setahun, denda

ARKIB : 27/02/2009
PETALING JAYA - Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa; mengungkap nasib Reduan Abdullah setelah jurulatih kelab Liga Perdana, Felda United ini dikenakan penggantungan setahun dan didenda RM4,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Gara-gara kenyataannya dalam sebuah akhbar pada 20 Februari 2009 mengenai ujian kecergasan Yoyo, bekas pemain tengah kebangsaan era 70-an itu didapati menyalahi Perkara 5.8.1 Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dan dihukum menurut Perkara 18.2 Peraturan Tatatertib FAM 2008.

Pengerusi jawatankuasa itu, Kamarudin Abdullah berkata, Reduan didapati mengeluarkan kenyataan kepada akhbar itu tanpa kebenaran FAM dan tidak tepat mengenai ujian tersebut.

"Dia mengaku atas perbuatan itu apabila dihadapkan ke jawatankuasa ini dan dia dibenarkan merayu hanya kepada hukuman penggantungan itu dalam tempoh 14 hari tetapi denda tersebut muktamad," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat selama empat jam di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Reduan yang ditemui selepas dijatuhi hukuman itu berkata: "Hukuman sudah dijatuhkan dan saya perlu mematuhinya tetapi akan cuba mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM untuk meringankannya. Inilah kali pertama saya dihadapkan bagi kes tatatertib termasuk ketika sebagai pemain."

Jurulatih pasukan Liga Super Perlis, Irfan Bakti Abu Salim pula digantung empat perlawanan dan didenda RM7,000 kerana didapati bersalah menyepak mikrofon RTM di tepi padang dan memasuki padang serta melemparkan kata-kata yang menyinggung pengadil perlawanan Liga Super menentang Pulau Pinang pada 10 Januari lalu di Stadium Bandaraya.

''Jawatankuasa turut mendenda seorang pegawai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), RM3,000 bagi perlawanan Piala Malaysia menentang Selangor pada 29 Ogos 2008.

"Turut dihukum berkaitan perlawanan tersebut ialah penolong jurulatih ketika itu, Anuar Udin yang didenda RM1,000 manakala seorang lagi pegawai pasukan, Gifari Wari didenda RM3,000 dan digantung daripada semua aktiviti bola sepak buat sementara," katanya.

Katanya lagi, pasukan PDRM turut didenda RM10,000 kerana kelakuan penyokongnya membaling botol ke padang.

Sementara itu, jawatankuasa bagaimanapun tidak dapat membuat keputusan kes pergaduhan pada perlawanan liga berkenaan kategori lelaki antara Selangor dengan Kelantan di Stadium Sukpa, Kuantan pada 28 Disember 2008 kerana mereka yang dipanggil menghadap, tidak dapat hadir atas alasan pengangkutan.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz522xvzumL

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan