ARKIB : 15/01/2009
KUALA LUMPUR - Berada di puncak
memang mengasyikkan namun pengendali KL PLUS, Mat Zan Mat Aris tidak
sekali-kali mahu melihat anak didiknya hanyut dibuai mimpi lapor MOHD. RAFIE
AZIMI.
Kecemerlangan KL PLUS
menewaskan Pulau Pinang 3-1 membolehkan skuad lebuh raya itu memintas kedudukan
Selangor yang rebah 2-1 kepada Johor FC di Stadium J-Corp, Pasir Gundang dalam
aksi Liga Super kelmarin.
Mat Zan yang ditemui selepas
perlawanan itu berkata, beliau bersyukur dengan kejayaan pasukannya berada di
takhta liga namun mengingatkan para pemain betapa liga musim ini baru sahaja
bermula.
''Saya gembira mendapat tahu
kami mendahului pasukan lain di dalam liga. Namun, masih terlampau awal untuk
meramal kedudukan setiap pasukan yang bertanding musim ini.
''Cuma saya harap kedudukan ini
tidak akan menjadi beban serta tekanan kepada pemain untuk mengekalkan momentum
kemenangan,'' katanya.
Dalam perlawanan yang
berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur kelmarin, Bobby Gonzalez muncul
wira KL Plus apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-49 dan 58 bagi membenam
skuad harimau kumbang.
Satu lagi gol KL Plus
disumbangkan oleh Nur Adli Mohd. Pauzee minit ke-37 manakala Mohd. Idzwan Salim
pula menyumbat gol sagu hati untuk Pulau Pinang pada masa kecederaan separuh
masa pertama.
Mengulas mengenai corak
permainan pasukannya malam itu, Mat Zan secara keseluruhannya berpuas hati
dengan persembahan yang ditunjukkan para pemain sepanjang perlawanan
berlangsung.
''Kami agak longlai pada babak
pertama sehingga membenarkan lawan menjaringkan gol mudah akibat kelalaian
sendiri.
''Kebangkitan KL Plus pada
separuh masa kedua adalah sesuatu yang menggembirakan malah saya percaya para
penonton turut terhibur melihat corak permainan yang kami sajikan malam ini,''
katanya.
Dalam pada itu, Mat Zan seakan
turut mengingatkan para pesaingnya musim ini betapa pasukan bimbingannya itu
masih belum sampai ke kemuncak prestasi.
''Saya percaya prestasi kami
masih belum sampai ke kemuncak dan akan ada peningkatan daripada para pemain
bagi menghadapi perlawanan seterusnya,'' ujarnya
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51TRUh2yV
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan