ARKIB : 03/11/2008
KUALA LUMPUR - Kelab UPB-MyTeam
semalam menyaring 37 bakat baru bola sepak untuk menjalani ujian pemilihan
terakhir pada 11 November ini sebelum membentuk skuad 25 pemain Piala
Presidennya bagi musim baru, Januari depan.
Pengurus pasukan, Yakub
Hussaini berkata, sesi ujian selama empat hari di Majlis Sukan Negara (MSN),
Bukit Jalil itu akan turut melibatkan perlawanan persahabatan dengan dua atau
tiga pasukan terpilih yang kemungkinan besar dari sekitar Lembah Klang.
"Kami menerima sambutan
menggalakkan dalam sesi pemilihan awal selama dua hari ini dengan dihadiri 220
pemain muda berusia bawah 20 tahun malah ada yang sanggup datang dari jauh
seperti Perlis," katanya di Padang MSN, Bukit Jalil, semalam.
Sesi pemilihan awal sejak
kelmarin selama lebih tiga jam, dikendalikan oleh jurulatih skuad Piala
Presiden UPB-MyTeam, Jacob Joseph dan 37 orang ini akan disaring sekali lagi
bersama sekumpulan bakat baru yang turut dicungkil di Cameron Highland.
Setakat ini kelab yang
berpangkalan di Teluk Intan, Perak itu, cuma mampu mengekalkan empat pemain
bawah 20 tahun dari musim lalu iaitu G.K. Banuteja, M. Anbarasan, Muhammad Asil
Syafiq Sehrifodin dan Wilfred Jabun bagi meneruskan cabaran musim depan.
Kata Yakub, pemilihan baru
dibuat ekoran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memansuhkan pertandingan
bawah 19 tahun, Piala Belia dan mengurangkan had umur Piala Presiden dari bawah
23 kepada bawah 20 tahun mulai tahun depan.
"Menerusi ujian empat hari
itu, kami mahu mendapatkan lapan pemain terbaik dari kalangan mereka yang
berusia bawah 19 tahun, lapan bawah 18 dan sembilan bawah 17," katanya
yang juga pengurus pasukan senior UPB-MyTeam.
Pengurusan kelab katanya, bakat
baru yang dipilih tetapi masih bersekolah dan perlu menduduki peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), bulan ini pula masih diberi tempoh sehingga bulan
depan untuk dipanggil semula menjalani ujian pemilihan.
Musim lalu Piala Presiden
menyaksikan skuad yang diasaskan daripada siri realiti TV sejak 2006 dan di
bawah bimbingan Jacob ini terkandas pada separuh akhir dengan tewas menerusi
agregat 6-1 kepada Perak dalam perlawanan timbal balik
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz512b8K3KK
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan