Selasa, 29 November 2016

Selangor rampas takhta Perdana Dua

ARKIB : 10/04/1999
SELANGOR merampas kembali takhta bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan Negeri Sembilan Chempaka 4-2 di Stadium Shah Alam, semalam, berikutan kekalahan 0-1 Johor FC kepada pencabarnya.

Selangor membuka jaringan menerusi ketua pasukan, K. Sanbagamaran yang menerima hantaran silang S. Sivaram pada minit ke-13.

NS Chempaka mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-22, namun tendangan Yusafizan Johar ditampan penjaga gol Selangor, Abdul Hadi Tahir.

Sebaliknya Selangor menambah jaringan menerusi Rusdi Suparman minit ke-24, sementara gol ketiga dan keempat oleh Lim Chan Yew dan Rusdie Ramli pada minit ke-52 dan 73.

Yusafizan bagaimanapun menceriakan sedikit pasukan pelawat dengan jaringan pertama pada minit ke-34 dan gol kedua menerusi Mohd. Rizal Harun pada minit ke-61.

Kemenangan itu menjadikan Selangor pasukan tunggal yang tidak pernah tumpas dalam saingan Perdana Dua.

Mereka mencatat tiga kemenangan dan tiga seri daripada enam perlawanan.

Sementara di Stadium Utama, Kangar Perlis menafikan hajat Johor FC untuk kekal di takhta liga dengan kemenangan tipis 1-0.

Perlis, yang melonjak satu anak tangga daripada kedudukan keempat memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi M. Ballan pada minit ke-62.

Ini merupakan kekalahan sulung diterima Johor FC, yang kini jatuh satu anak tangga dengan empat kemenangan daripada enam perlawanan dan kekal 13 mata - satu mata di belakang Selangor.

Rekod tanpa kalah Kelantan turut lebur di Stadium Kubu apabila skuad Pantai Timur itu kecundang 2-0 kepada tuan rumah, Melaka.

Walaupun beraksi dengan berbekalkan dua kekalahan berturut-turut, Melaka berjaya bangkit untuk mengutip tiga mata penuh.

Jaringan kemenangan tuan rumah dihasilkan oleh Sri Jaafar pada minit ke-56 dan tendangan penalti Musa Talib, 25 minit sebelum permainan tamat.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Johor mengalami kekalahan ketiga apabila tunduk 1-4 kepada TNB Kelantan.

Ruslan Ismail dan Md. Khairul Anuar muncul wira tuan rumah, apabila masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-35, 37 dan 83, 97.

Johor memperoleh gol sagu hati menerusi bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha pada minit ke-43.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RSs5Z6aj © Utusan Melayu (M) Bhd

Azman tidak hampakan Pulau Pinang

ARKIB : 09/04/1999
BERSANDARKAN barisan sama, Pulau Pinang lebih bersemangat untuk menghadapi Sabah dalam perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, esok.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah dalam tempoh 90 minit permainan jelas membayangkan betapa Pulau Pinang ''serik'' untuk mencipta keputusan seri yang sering tidak menyebelahi skuad ''Harimau Kumbang.''

Kekalahan 3-5 kepada Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit menjadi iktibar betapa Pulau Pinang selaku juara Liga Perdana Satu 1998 memerlukan kemenangan mutlak.

Bagaimanapun, selepas mengharungi perlawanan dengan Kedah, Pulau Pinang kembali berkeyakinan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi miliknya.

Jurulatih Moey Yok Ham berkata, Pulau Pinang membuktikan kemampuan untuk menewaskan Kedah yang juga merupakan sebuah pasukan handal sekalipun dibarisi ramai pemain baru.

''Saya berharap, mereka (pemain) akan mempergunakan setiap kesempatan yang terhidang ketika menghadapi Sabah nanti,'' tambah beliau.

Pulau Pinang akan menentang Sabah dengan barisan handalan yang diketuai penyerang berbisa, Azman Adnan untuk mencari kemenangan berterusan bagi mencerahkan peluang mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Satu.

Selain Azman, turut memperkuatkan Pulau Pinang ialah rakan sepasukannya dari Selangor, penjaga gol, Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RSlRafPP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tok Gajah tunjuk gagah

ARKIB : 04/04/1999
WALAUPUN tanpa kelibat ketua jurulatih, Alan Davidson yang digantung tidak bertali, Pahang tetap unggul di gelanggang sendiri apabila menumpas Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Darulmakmur, Kuantan semalam, sekali gus muncul pendahulu baru Liga Perdana Satu.

Kejayaan skuad Tok Gajah dibantu keputusan perlawanan antara dua pasukan teratas liga sebelum ini, Sarawak dan Pulau Pinang yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Kemenangan besar Pahang membuktikan mereka masih pasukan elit Pantai Timur.

Azizul Kamaludin memulakan jaringan pada minit ke-10 setelah menerima hantaran jarak jauh Wan Rohaimi Wan Ismail menyaksikan Azmin Azram Aziz tewas pertama kali.

Belum pun pasukan pelawat dapat menarik nafas, satu lagi asakan dilakukan Pahang yang membuahkan gol kedua dan kali ini giliran Wan Rohaimi pada minit ke-16.

Gerakan cantik Ahmad Shaharudin Rosdi yang menggelecek ketua pasukan Negeri Sembilan, Khairil Zainal sebelum melambungkan dan ditanduk Wan Rohaimi menggegarkan jaring gol walaupun penjaga gol pelawat cuba menepis.

Selepas ketinggalan 2-0 Negeri Sembilan seolah-olah hilang haluan dan setiap serangan yang diatur mudah dipatahkan Tok Gajah.

Pahang terus melebarkan penguasaan melalui Alif Rohaimi Azizhan pada minit ke-39 yang bermula daripada gerakan Azaruddin Aziz yang melepasi barisan pertahanan lawan yang mengekang asakan Pahang dengan perangkap ofsaid.

Wan Rohaimi yang menerima hantaran itu terus meluru ke arah penjaga gol, sebelum menyilang kepada Alif untuk menolak masak.

Episod duka skuad Rusa berterusan pada minit ke-16 separuh masa kedua Pahang terus menghukum pasukan bimbingan Irfan Bakti.

Larian pantas Wan Rohaimi dari sebelah kanan padang meninggalkan Khairil Zainal yang kekejangan sebelum melambung bola kepada Ahmad Shaharudin Rosdi yang mudah menanduk masuk.

Shahrulnizam Sahat melengkapkan koleksi gol Pahang malam tadi pada minit ke-76, setelah menerima hantaran lintang Azaruddin sebelum menolak ke dalam gawang gol.

Oleh: BORHAN ABU SAMAH

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RRrCv8Gs © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 26 November 2016

Gol Azman ceriakan P. Pinang

ARKIB : 24/03/1999
SKUAD Harimau Kumbang terus garang mencipta kemenangan kedua apabila menewaskan Brunei 2-0 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam tadi.

Paling manis, kemenangan tersebut dihasilkan dalam masa permainan sebenar di hadapan hampir 7,000 penonton di gelanggang sendiri.

Penyerang, Azman Adnan memulakan tirai jaringan Pulau Pinang menerusi tendangan penalti pada minit ke-47 sebelum Ooi Hoe Guan menambah gol minit ke-79.

Babak awal separuh masa pertama sekadar menyaksikan kedua-dua pasukan gagal melakukan gerakan cantik tanpa sebarang percubaan berbahaya.

Bagaimanapun kesilapan pertahanan Pulau Pinang hampir mengundang padah apabila Brian Iman Abdullah memperoleh satu kesempatan terbaik tetapi rembatannya terkena badan penjaga gol, Azlisham Ibrahim pada minit ke-16.

Pulau Pinang cuba membalas asakan tetapi kepincangan barisan tengah, memudahkan pertahanan lawan menyekat kemaraan pasukan tuan rumah itu.

Dalam satu kekalutan dalam kubu Brunei, Pulau Pinang mendapat peluang terbaik menerusi Ng Kok Heng namun sepakannya dari jarak 20 meter terkeluar pada minit ke-33.

Sekali lagi, Pulau Pinang kembali cemas apabila Brian melepasi benteng pertahanan tuan rumah. Bagaimanapun tolakannya keluar sekalipun penjaga gol, Azlisham sudah tertewas pada minit ke-41 untuk mengikat kedudukan seri tanpa jaringan pada babak pertama.

Separuh masa kedua menyemarakkan semangat Pulau Pinang, yang melakukan serangan bertali arus ke kubu Brunei sehingga memaksa pemain pasukan pelawat membuat beberapa kesilapan.

Akhirnya, bola yang terkena tangan salah seorang pemain pertahanan Brunei di depan pintu gol memaksa pengadil, M. Saminathan menghadiahkan tendangan penalti kepada Pulau Pinang, yang mudah disempurnakan Azman pada minit ke-47.

Jaringan tersebut menambah lagi semangat Pulau Pinang untuk melakukan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Brunei.

Kesempatan terhidang buat Azman yang hanya berdepan penjaga gol, Yunus Yusof tetapi sepakannya pula melepasi palang pada minit ke-76.

Walaupun gagal, Azman bertindak cemerlang memastikan hantarannya ditolak masuk pemain gantian Ooi Hoe Guan, tiga minit kemudian.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RBRnEned © Utusan Melayu (M) Bhd

Bisa Azman kembali

ARKIB : 23/03/1999
AKSI awal Sabtu lalu mendedahkan segala-galanya, kekuatan atau kepincangan yang sudah disajikan menjadi rujukan penting kepada 10 pasukan dalam mengharungi bola sepak Liga Perdana Satu malam ini.

Pastinya, nama penyerang Pulau Pinang, Azman Adnan kembali mencetuskan kebimbangan kepada Brunei yang bertandang ke Stadium Bandaraya.

Keupayaannya menghasilkan dua jaringan daripada tiga peluang yang diperolehnya sewaktu Pulau Pinang seri 2-2 dalam masa permainan sebenar membayangkan betapa Azman masih 'berbisa' sebagaimana garang pasukan barunya, 'harimau kumbang.'

Kemantapan di kesemua posisi kerana diperkuatkan pemain daripada negeri lain seperti S. Ragesh (Kedah), Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri (Selangor), V. Thinagaran (Perlis), Wong Kah Loon serta Badrisan Kadir (Kelantan), Pulau Pinang mempunyai banyak kelebihan.

Bagaimanapun Pulau Pinang seharusnya berhati-hati kerana Brunei bukannya pasukan 10 tahun lalu yang sering menghuni kelompok terbawah.

Kekalahan 3-4 kepada Kuala Lumpur yang dibarisi ramai pemain ''muka'' baru memungkinkan Brunei untuk bangkit mencipta kemenangan sebagai penebus maruah, apatah lagi dengan kesempatan menurunkan pemain importnya.

Selain Pulau Pinang, pasukan Perdana Satu mempunyai sebab untuk memberi sepenuh tumpuan kepada johan Piala Malaysia 1998, Perak yang mempunyai semangat paling tinggi selepas meraih kejuaraan pertama musim ini, Piala Sultan Ahmad Shah dalam perlawanan sumbangsih.

Walaupun terpaksa bertandang ke gelanggang lawan, Stadium Darulmakmur, Perak sudah pasti mempergunakan setiap peluang dalam mencari kelemahan Pahang yang masih ''tersepit'' dengan kontroversi peletakan jawatan jurulatih Alan Davidson.

Sementara skuad yang sering ''di belakangkan'' iaitu Kuala Lumpur sudah pasti menggentarkan Sarawak selepas kejayaannya mengatasi Brunei.

Kemenangan Kuala Lumpur yang dibarisi ramai ''muka baru,'' jelas memberi amaran kepada Sarawak supaya tidak memandang mudah keupayaan skuad warga kota itu, apatah lagi beraksi di Lembah Klang.

Begitu juga dengan Negeri Sembilan, perlu berwaspada untuk menghadapi Kedah yang dibarisi pemain baru selepas ramai tonggaknya berhijrah ke negeri lain.

Hanya kelebihan Negeri Sembilan bersandarkan kepada Zami Mohd. Noor yang menjaringkan dua gol dalam pertemuan dengan Pulau Pinang.

Pastinya, Zami diletakkan harapan tinggi untuk mencari seberapa banyak jaringan ke atas Kedah yang ketandusan penyerang berwibawa selepas ramai pemain handalannya berhijrah ke pasukan lain.

Sabah pula tidak terkecuali untuk 'bekerja keras' kerana lawannya Terengganu bukan sahaja pasukan terkuat di Pantai Timur, malah mempunyai reputasi selaku naib juara Piala Malaysia 1998.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RAyncu00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 17 November 2016

Perak bermula dengan bergaya



ARKIB : 21/03/1999
PENYERANG Perak, V. Saravanan (21) cuba dikejar oleh dua pemain pertahanan Sabah pada perlawanan Liga Perdana Satu, malam tadi. Perak menang 1-0. - Gambar MOHAMAD HASHIM.

JUARA Piala Malaysia, Perak membuka kempen bola sepak Liga Perdana Satu dengan bergaya apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, malam tadi.

Walaupun bermain atas padang basah dan di depan hanya 7,000 penyokong sendiri, Perak membuktikan mereka antara pasukan pilihan musim ini dengan memperoleh gol menerusi M. Nagaraja pada minit ke-50.

Terima kasih kepada penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad yang menjadi penyumbang kepada kemenangan itu sekali gus membolehkan Perak memungut tiga penuh.

Ternyata label sebagai pasukan juara menyaksikan Perak terus mengasak sebaik permainan dimulakan namun percubaan minit pertama P. Gunasekaran ditampan kemas Khairul Azman.

Keghairahan Perak mencari gol awal jelas memaksa Sabah hanya bertahan selepas itu biar pun cuba menyaingi rentak pantas tuan rumah yang mengamalkan hantaran-hantaran pendek yang kemas untuk memecah kubu lawan.

Saravanan yang sentiasa menjadi duri dalam daging bagi pertahanan Sabah berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-9 tetapi larian solonya dari tengah padang gagal disempurnakan apabila sepakan leretnya terkena tiang ketika Khairul sudah pun tertewas.

Asakan digandakan oleh Perak namun mereka mendapati pertahanan Sabah yang diterajui Veselin Kovasevic terlalu kebal untuk ditembusi.

Walaupun tertekan dengan corak permainan lawannya, Sabah sempat mencuri peluang pada minit ke-39 namun sepakan kencang Henry Soimpon dari jarak 35 meter berjaya ditepis keluar penjaga gol Perak, V. Murugan.

Bagaimanapun Sabah tidak mampu lagi bertahan apabila lima minit selepas separuh masa kedua bermula, Perak memperoleh gol menerusi Nagaraja yang menyambut bola muntah hasil kesilapan Khairul yang gagal menolak keluar bola tandukan Mior Nor Samsul dari kawasan bahaya.

Gol itu bagaimanapun gagal menyuntik semangat pemain-pemain Perak sebaliknya menyaksikan Sabah mengambil giliran melakukan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Dalam keletihan, pertahanan Perak dipaksa bertahan namun ketumpulan barisan serangan Sabah menyelamatkan keadaan dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.

Oleh: MOHD. TAUFEEK RAZAK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QL8iLBod © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 16 November 2016

Lima negeri menang selesa

ARKIB : 20/03/1999
SEMUA lima pasukan negeri mencatat kemenangan selesa ke atas pasukan kelab pada perlawanan pembukaan bola sepak Liga Perdana Dua, semalam.

Bagaimanapun, bekas juara Piala Malaysia 28 kali, Selangor dan Kelantan terpaksa menentukan kemenangan menerusi sepakan penalti selepas masing-masing seri selepas permainan sepenuh masa.

Selangor diikat 2-2 oleh Tentera di Stadium Shah Alam manakala Kelantan seri tanpa jaringan dengan Johor FC di Stadium Pasir Gudang selepas tamat 90 minit permainan.

Begitu pun, Selangor menang 3-1 pada penentuan itu, peraturan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Liga Perdana musim ini yang mana perlawanan yang berkeputusan seri harus menentukan kemenangan menerusi penalti. Kelantan pula menang 5-3.

Juara Piala FA musim lalu, Johor menebus kecewa gagal merebut Piala Sumbangsih 14 Mac lalu dengan kemenangan 3-0 ke atas NS Chempaka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Perlis yang masih segar dengan kejayaan mara ke pusingan kedua Piala FA, turut menafikan kejutan yang mahu dicipta TBN Kelantan apabila membenam pasukan itu 2-1 di Stadium Utama, Kangar.

Manakala hajat Telekom Melaka untuk mengaibkan pasukan senior mereka tidak kesampaian apabila di benam Melaka 4-0 di Stadium Kubu.

Tentera mengejutkan Selangor menerusi gol awal yang dijaringkan sendiri pemain pertahanan Merah Kuning, Assrof Hanafiah pada minit kedua tetapi S. Paidiya Rau menyamakan kedudukan lima minit selepas waktu rehat.

Ketua pasukan Zainal Abidin Hassan meletakkan Selangor di depan pada minit ke-59 tetapi Saifullizan Hashim menyamakan kedudukan pada minit ke-68 hasil sepakan penalti.

Bagaimanapun, jaringan Nazzab Hidzan, K. Sanbagamaran dan S. Ragu memberi tiga mata penuh buat Selangor dalam penentuan sepakan penalti manakala satu gol Tentera dijaringkan S. Mahindran.

Kegagalan pemain Johor, Shamsohizam Susol menyempurnakan tendangan penalti menghukum Johor FC untuk mengaku kalah kepada Kelantan dengan 3-5 di Stadium Pasir Gudang, Johor.

Tendang-tendangan penaliti Kelantan disempurnakan oleh Khamal Idris Ali, Nizam Adzha Yusoff, Yurisham Yusof, Aqli Ahmad Tabarani dan Zaidi Mohd. Nafiah.

Sementara tiga tendangan Johor FC berjaya menembusi gawang Kelantan dilakukan oleh Shukri Ismail, Hasnizam Uzir dan Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar.

Di Stadium Kubu, perlawanan sulung bagi kedua-dua skuad dari negeri Hang Tuah, menyaksikan Melaka menumpaskan Melaka Telekom, 4-0.

Keupayaan Melaka terserlah apabila pemain muda, Mohd. Rhudin Kasmani mencuri tumpuan penonton apabila berjaya menjaringkan dua gol untuk pasukannya pada minit kelapan dan ke-36.

Biarpun begitu, pasukan Melaka Telekom selaku tuan rumah menguasai perlawanan dengan peluang keemasan ditemui pada minit ke-43, hasil tendangan Tan Him Hong tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol Melaka A. Zainal Rabin yang mewakili Melaka sejak musim lalu.

Namun babak kedua menyaksikan gawang Melaka Telekom yang dijaga oleh Azhar Ahmad dibolosi lagi dan kini ini oleh Abd. Karim Abd. Rahman pada minit ke-59, hasil tendangan lintang Sri Jaafar A. Rahman.

Sementara Johor memperolehi jaringan menerusi Rizal Sukiman pada minit ke-27, Azmil Azali (58) dan Annuar Abu Bakar (44) untuk membenam NS Chempaka 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, permulaan baik buat skuad selatan itu.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis terpaksa menunggu sehingga minit ke-32 untuk memecah benteng TNB Kelantan sebelum menang 2-1.

Penyerang Mohd Fuad Md Noor membuka jaringan pendahuluan itu sebelum V. Yogeswaran melebarkan jurang pada minit ke-40. TNB Kelantan memperoleh jaringan tunggal menerusi Tengku Ismail Tengku Ibrahim pada minit ke-45
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4QAyJP814
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

TNB Kelantan, Tentera layak

ARKIB : 25/02/1999
TENAGA Nasional Berhad (TNB) Kelantan dan Tentera melayakkan diri ke liga bola sepak Perdana Dua apabila masing-masing menamatkan cabaran peringkat play-off di tangga pertama dan kedua.

Di Stadium Permata Petronas, Bangi, TNB sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Polis, namun cukup untuk meletakkan pasukan itu di carta teratas play-off.

TNB dikejutkan dengan jaringan pendahuluan Polis pada minit ke-25 menerusi Mohd. Affendy Hamzah dan menyamakan kedudukan di minit ke-89 apabila Ruslan Ismail menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol Polis, P. T. Assogan.

Serangan TNB pada babak kedua permainan membuahkan hasil dengan jaringan penyamaan oleh Ruslan yang menerima hantaran silang Zol Hassan dari sebelah kiri pintu gol.

Keputusan ini bermakna TNB di tangga teratas selepas menamatkan tiga perlawanan dengan mengutip lima mata hasil kemenangan 3-2 ke atas Tentera dan dua seri ketika berdepan Malay Mail (1-1), serta Polis (1-1).

Jurulatih TNB Kelantan, Salim Mahmud berpuas hati dengan kejayaan itu, tetapi menyedari saingan hebat bakal dihadapi oleh para pemainnya ketika berdepan skuad terhandal negeri, termasuk Selangor yang pernah muncul juara Piala Malaysia.

''Saya puas hati dengan tahap permainan yang ditunjukkan, tetapi kami perlu menggandakan latihan untuk menghadapi skuad terhandal dalam Perdana Dua.

''Tempoh rehat tiga hari terlalu singkat dan mungkin para pemain akan menjalani latihan lebih keras nanti kerana kami belum biasa dengan kancah Perdana Dua.

''Mungkin juga beberapa muka baru diketengahkan nanti, tetapi ini bergantung kepada keadaan,'' kata Salim.

Dalam pada itu, di Stadium Bank Simpanan Nasional (BSN), Bangi, Tentera mengejutkan Malay Mail untuk mara ke Perdana Dua dengan kemenangan bergaya 2-0 pada perlawanan terakhir mereka.

Kemenangan ini memberi kelebihan buat Tentera hasil perbezaan gol 4-3 berbanding Malay Mail dengan 2-3 sekali pun masing-masing berjaya mengutip empat mata.

Tentera mendapat gol pertama menerusi Ahmad Nizam Ariffin pada minit ke-58 dan mengesahkan kemenangan apabila Amir Abdul Ghani Mohd. Yusuf menanduk masuk gol kedua pada minit ke-85.

Pasukan ini menamatkan cabaran dengan menang ke atas Malay Mail 2-0, seri 0-0 dengan Polis, serta tewas 2-3 kepada TNB Kelantan, Isnin lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4Pu3wJykq © Utusan Melayu (M) Bhd