ARKIB : 25/02/1999
TENAGA Nasional Berhad (TNB)
Kelantan dan Tentera melayakkan diri ke liga bola sepak Perdana Dua apabila
masing-masing menamatkan cabaran peringkat play-off di tangga pertama dan
kedua.
Di Stadium Permata Petronas,
Bangi, TNB sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Polis, namun cukup untuk
meletakkan pasukan itu di carta teratas play-off.
TNB dikejutkan dengan jaringan
pendahuluan Polis pada minit ke-25 menerusi Mohd. Affendy Hamzah dan menyamakan
kedudukan di minit ke-89 apabila Ruslan Ismail menolak masuk bola untuk
menewaskan penjaga gol Polis, P. T. Assogan.
Serangan TNB pada babak kedua
permainan membuahkan hasil dengan jaringan penyamaan oleh Ruslan yang menerima
hantaran silang Zol Hassan dari sebelah kiri pintu gol.
Keputusan ini bermakna TNB di
tangga teratas selepas menamatkan tiga perlawanan dengan mengutip lima mata
hasil kemenangan 3-2 ke atas Tentera dan dua seri ketika berdepan Malay Mail
(1-1), serta Polis (1-1).
Jurulatih TNB Kelantan, Salim
Mahmud berpuas hati dengan kejayaan itu, tetapi menyedari saingan hebat bakal
dihadapi oleh para pemainnya ketika berdepan skuad terhandal negeri, termasuk
Selangor yang pernah muncul juara Piala Malaysia.
''Saya puas hati dengan tahap
permainan yang ditunjukkan, tetapi kami perlu menggandakan latihan untuk
menghadapi skuad terhandal dalam Perdana Dua.
''Tempoh rehat tiga hari
terlalu singkat dan mungkin para pemain akan menjalani latihan lebih keras
nanti kerana kami belum biasa dengan kancah Perdana Dua.
''Mungkin juga beberapa muka
baru diketengahkan nanti, tetapi ini bergantung kepada keadaan,'' kata Salim.
Dalam pada itu, di Stadium Bank
Simpanan Nasional (BSN), Bangi, Tentera mengejutkan Malay Mail untuk mara ke
Perdana Dua dengan kemenangan bergaya 2-0 pada perlawanan terakhir mereka.
Kemenangan ini memberi
kelebihan buat Tentera hasil perbezaan gol 4-3 berbanding Malay Mail dengan 2-3
sekali pun masing-masing berjaya mengutip empat mata.
Tentera mendapat gol pertama
menerusi Ahmad Nizam Ariffin pada minit ke-58 dan mengesahkan kemenangan
apabila Amir Abdul Ghani Mohd. Yusuf menanduk masuk gol kedua pada minit ke-85.
Pasukan ini menamatkan cabaran
dengan menang ke atas Malay Mail 2-0, seri 0-0 dengan Polis, serta tewas 2-3
kepada TNB Kelantan, Isnin lalu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4Pu3wJykq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan