Selasa, 29 November 2016

Azman tidak hampakan Pulau Pinang

ARKIB : 09/04/1999
BERSANDARKAN barisan sama, Pulau Pinang lebih bersemangat untuk menghadapi Sabah dalam perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Bandaraya, esok.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kedah dalam tempoh 90 minit permainan jelas membayangkan betapa Pulau Pinang ''serik'' untuk mencipta keputusan seri yang sering tidak menyebelahi skuad ''Harimau Kumbang.''

Kekalahan 3-5 kepada Sarawak menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam tempoh 90 minit menjadi iktibar betapa Pulau Pinang selaku juara Liga Perdana Satu 1998 memerlukan kemenangan mutlak.

Bagaimanapun, selepas mengharungi perlawanan dengan Kedah, Pulau Pinang kembali berkeyakinan untuk memastikan tiga mata penuh menjadi miliknya.

Jurulatih Moey Yok Ham berkata, Pulau Pinang membuktikan kemampuan untuk menewaskan Kedah yang juga merupakan sebuah pasukan handal sekalipun dibarisi ramai pemain baru.

''Saya berharap, mereka (pemain) akan mempergunakan setiap kesempatan yang terhidang ketika menghadapi Sabah nanti,'' tambah beliau.

Pulau Pinang akan menentang Sabah dengan barisan handalan yang diketuai penyerang berbisa, Azman Adnan untuk mencari kemenangan berterusan bagi mencerahkan peluang mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Satu.

Selain Azman, turut memperkuatkan Pulau Pinang ialah rakan sepasukannya dari Selangor, penjaga gol, Azlisham Ibrahim, Shahril Arsat dan Asmawi Bakiri.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RSlRafPP © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan