Khamis, 17 November 2016

Perak bermula dengan bergaya



ARKIB : 21/03/1999
PENYERANG Perak, V. Saravanan (21) cuba dikejar oleh dua pemain pertahanan Sabah pada perlawanan Liga Perdana Satu, malam tadi. Perak menang 1-0. - Gambar MOHAMAD HASHIM.

JUARA Piala Malaysia, Perak membuka kempen bola sepak Liga Perdana Satu dengan bergaya apabila menewaskan Sabah 1-0 dalam perlawanan di Stadium Perak, malam tadi.

Walaupun bermain atas padang basah dan di depan hanya 7,000 penyokong sendiri, Perak membuktikan mereka antara pasukan pilihan musim ini dengan memperoleh gol menerusi M. Nagaraja pada minit ke-50.

Terima kasih kepada penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad yang menjadi penyumbang kepada kemenangan itu sekali gus membolehkan Perak memungut tiga penuh.

Ternyata label sebagai pasukan juara menyaksikan Perak terus mengasak sebaik permainan dimulakan namun percubaan minit pertama P. Gunasekaran ditampan kemas Khairul Azman.

Keghairahan Perak mencari gol awal jelas memaksa Sabah hanya bertahan selepas itu biar pun cuba menyaingi rentak pantas tuan rumah yang mengamalkan hantaran-hantaran pendek yang kemas untuk memecah kubu lawan.

Saravanan yang sentiasa menjadi duri dalam daging bagi pertahanan Sabah berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-9 tetapi larian solonya dari tengah padang gagal disempurnakan apabila sepakan leretnya terkena tiang ketika Khairul sudah pun tertewas.

Asakan digandakan oleh Perak namun mereka mendapati pertahanan Sabah yang diterajui Veselin Kovasevic terlalu kebal untuk ditembusi.

Walaupun tertekan dengan corak permainan lawannya, Sabah sempat mencuri peluang pada minit ke-39 namun sepakan kencang Henry Soimpon dari jarak 35 meter berjaya ditepis keluar penjaga gol Perak, V. Murugan.

Bagaimanapun Sabah tidak mampu lagi bertahan apabila lima minit selepas separuh masa kedua bermula, Perak memperoleh gol menerusi Nagaraja yang menyambut bola muntah hasil kesilapan Khairul yang gagal menolak keluar bola tandukan Mior Nor Samsul dari kawasan bahaya.

Gol itu bagaimanapun gagal menyuntik semangat pemain-pemain Perak sebaliknya menyaksikan Sabah mengambil giliran melakukan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Dalam keletihan, pertahanan Perak dipaksa bertahan namun ketumpulan barisan serangan Sabah menyelamatkan keadaan dan keputusan itu kekal hingga tamat permainan.

Oleh: MOHD. TAUFEEK RAZAK

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QL8iLBod © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan