ARKIB : 20/03/1999
SEMUA lima pasukan negeri mencatat kemenangan selesa ke atas pasukan kelab pada perlawanan pembukaan bola sepak Liga Perdana Dua, semalam.
Bagaimanapun, bekas juara Piala Malaysia 28 kali, Selangor dan Kelantan terpaksa menentukan kemenangan menerusi sepakan penalti selepas masing-masing seri selepas permainan sepenuh masa.
Selangor diikat 2-2 oleh Tentera di Stadium Shah Alam manakala Kelantan seri tanpa jaringan dengan Johor FC di Stadium Pasir Gudang selepas tamat 90 minit permainan.
Begitu pun, Selangor menang 3-1 pada penentuan itu, peraturan baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam Liga Perdana musim ini yang mana perlawanan yang berkeputusan seri harus menentukan kemenangan menerusi penalti. Kelantan pula menang 5-3.
Juara Piala FA musim lalu, Johor menebus kecewa gagal merebut Piala Sumbangsih 14 Mac lalu dengan kemenangan 3-0 ke atas NS Chempaka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Perlis yang masih segar dengan kejayaan mara ke pusingan kedua Piala FA, turut menafikan kejutan yang mahu dicipta TBN Kelantan apabila membenam pasukan itu 2-1 di Stadium Utama, Kangar.
Manakala hajat Telekom Melaka untuk mengaibkan pasukan senior mereka tidak kesampaian apabila di benam Melaka 4-0 di Stadium Kubu.
Tentera mengejutkan Selangor menerusi gol awal yang dijaringkan sendiri pemain pertahanan Merah Kuning, Assrof Hanafiah pada minit kedua tetapi S. Paidiya Rau menyamakan kedudukan lima minit selepas waktu rehat.
Ketua pasukan Zainal Abidin Hassan meletakkan Selangor di depan pada minit ke-59 tetapi Saifullizan Hashim menyamakan kedudukan pada minit ke-68 hasil sepakan penalti.
Bagaimanapun, jaringan Nazzab Hidzan, K. Sanbagamaran dan S. Ragu memberi tiga mata penuh buat Selangor dalam penentuan sepakan penalti manakala satu gol Tentera dijaringkan S. Mahindran.
Kegagalan pemain Johor, Shamsohizam Susol menyempurnakan tendangan penalti menghukum Johor FC untuk mengaku kalah kepada Kelantan dengan 3-5 di Stadium Pasir Gudang, Johor.
Tendang-tendangan penaliti Kelantan disempurnakan oleh Khamal Idris Ali, Nizam Adzha Yusoff, Yurisham Yusof, Aqli Ahmad Tabarani dan Zaidi Mohd. Nafiah.
Sementara tiga tendangan Johor FC berjaya menembusi gawang Kelantan dilakukan oleh Shukri Ismail, Hasnizam Uzir dan Sheikh Ahmad Redzuan Abu Bakar.
Di Stadium Kubu, perlawanan sulung bagi kedua-dua skuad dari negeri Hang Tuah, menyaksikan Melaka menumpaskan Melaka Telekom, 4-0.
Keupayaan Melaka terserlah apabila pemain muda, Mohd. Rhudin Kasmani mencuri tumpuan penonton apabila berjaya menjaringkan dua gol untuk pasukannya pada minit kelapan dan ke-36.
Biarpun begitu, pasukan Melaka Telekom selaku tuan rumah menguasai perlawanan dengan peluang keemasan ditemui pada minit ke-43, hasil tendangan Tan Him Hong tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol Melaka A. Zainal Rabin yang mewakili Melaka sejak musim lalu.
Namun babak kedua menyaksikan gawang Melaka Telekom yang dijaga oleh Azhar Ahmad dibolosi lagi dan kini ini oleh Abd. Karim Abd. Rahman pada minit ke-59, hasil tendangan lintang Sri Jaafar A. Rahman.
Sementara Johor memperolehi jaringan menerusi Rizal Sukiman pada minit ke-27, Azmil Azali (58) dan Annuar Abu Bakar (44) untuk membenam NS Chempaka 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, permulaan baik buat skuad selatan itu.
Di Stadium Utama, Kangar, Perlis terpaksa menunggu sehingga minit ke-32 untuk memecah benteng TNB Kelantan sebelum menang 2-1.
Penyerang Mohd Fuad Md Noor membuka jaringan pendahuluan itu sebelum V. Yogeswaran melebarkan jurang pada minit ke-40. TNB Kelantan memperoleh jaringan tunggal menerusi Tengku Ismail Tengku Ibrahim pada minit ke-45
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0320&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4QAyJP814
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan