Selasa, 29 November 2016

Selangor rampas takhta Perdana Dua

ARKIB : 10/04/1999
SELANGOR merampas kembali takhta bola sepak Liga Perdana Dua apabila menumpaskan Negeri Sembilan Chempaka 4-2 di Stadium Shah Alam, semalam, berikutan kekalahan 0-1 Johor FC kepada pencabarnya.

Selangor membuka jaringan menerusi ketua pasukan, K. Sanbagamaran yang menerima hantaran silang S. Sivaram pada minit ke-13.

NS Chempaka mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan pada minit ke-22, namun tendangan Yusafizan Johar ditampan penjaga gol Selangor, Abdul Hadi Tahir.

Sebaliknya Selangor menambah jaringan menerusi Rusdi Suparman minit ke-24, sementara gol ketiga dan keempat oleh Lim Chan Yew dan Rusdie Ramli pada minit ke-52 dan 73.

Yusafizan bagaimanapun menceriakan sedikit pasukan pelawat dengan jaringan pertama pada minit ke-34 dan gol kedua menerusi Mohd. Rizal Harun pada minit ke-61.

Kemenangan itu menjadikan Selangor pasukan tunggal yang tidak pernah tumpas dalam saingan Perdana Dua.

Mereka mencatat tiga kemenangan dan tiga seri daripada enam perlawanan.

Sementara di Stadium Utama, Kangar Perlis menafikan hajat Johor FC untuk kekal di takhta liga dengan kemenangan tipis 1-0.

Perlis, yang melonjak satu anak tangga daripada kedudukan keempat memperoleh gol tunggal kemenangan menerusi M. Ballan pada minit ke-62.

Ini merupakan kekalahan sulung diterima Johor FC, yang kini jatuh satu anak tangga dengan empat kemenangan daripada enam perlawanan dan kekal 13 mata - satu mata di belakang Selangor.

Rekod tanpa kalah Kelantan turut lebur di Stadium Kubu apabila skuad Pantai Timur itu kecundang 2-0 kepada tuan rumah, Melaka.

Walaupun beraksi dengan berbekalkan dua kekalahan berturut-turut, Melaka berjaya bangkit untuk mengutip tiga mata penuh.

Jaringan kemenangan tuan rumah dihasilkan oleh Sri Jaafar pada minit ke-56 dan tendangan penalti Musa Talib, 25 minit sebelum permainan tamat.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohamed ke-IV, Johor mengalami kekalahan ketiga apabila tunduk 1-4 kepada TNB Kelantan.

Ruslan Ismail dan Md. Khairul Anuar muncul wira tuan rumah, apabila masing-masing menjaringkan dua gol pada minit ke-35, 37 dan 83, 97.

Johor memperoleh gol sagu hati menerusi bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha pada minit ke-43.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RSs5Z6aj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan