ARKIB : 04/04/1999
WALAUPUN tanpa kelibat ketua
jurulatih, Alan Davidson yang digantung tidak bertali, Pahang tetap unggul di
gelanggang sendiri apabila menumpas Negeri Sembilan 5-0 di Stadium Darulmakmur,
Kuantan semalam, sekali gus muncul pendahulu baru Liga Perdana Satu.
Kejayaan skuad Tok Gajah
dibantu keputusan perlawanan antara dua pasukan teratas liga sebelum ini,
Sarawak dan Pulau Pinang yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas
kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Kemenangan besar Pahang
membuktikan mereka masih pasukan elit Pantai Timur.
Azizul Kamaludin memulakan
jaringan pada minit ke-10 setelah menerima hantaran jarak jauh Wan Rohaimi Wan
Ismail menyaksikan Azmin Azram Aziz tewas pertama kali.
Belum pun pasukan pelawat dapat
menarik nafas, satu lagi asakan dilakukan Pahang yang membuahkan gol kedua dan
kali ini giliran Wan Rohaimi pada minit ke-16.
Gerakan cantik Ahmad Shaharudin
Rosdi yang menggelecek ketua pasukan Negeri Sembilan, Khairil Zainal sebelum
melambungkan dan ditanduk Wan Rohaimi menggegarkan jaring gol walaupun penjaga
gol pelawat cuba menepis.
Selepas ketinggalan 2-0 Negeri
Sembilan seolah-olah hilang haluan dan setiap serangan yang diatur mudah
dipatahkan Tok Gajah.
Pahang terus melebarkan
penguasaan melalui Alif Rohaimi Azizhan pada minit ke-39 yang bermula daripada
gerakan Azaruddin Aziz yang melepasi barisan pertahanan lawan yang mengekang
asakan Pahang dengan perangkap ofsaid.
Wan Rohaimi yang menerima
hantaran itu terus meluru ke arah penjaga gol, sebelum menyilang kepada Alif
untuk menolak masak.
Episod duka skuad Rusa
berterusan pada minit ke-16 separuh masa kedua Pahang terus menghukum pasukan
bimbingan Irfan Bakti.
Larian pantas Wan Rohaimi dari
sebelah kanan padang meninggalkan Khairil Zainal yang kekejangan sebelum
melambung bola kepada Ahmad Shaharudin Rosdi yang mudah menanduk masuk.
Shahrulnizam Sahat melengkapkan
koleksi gol Pahang malam tadi pada minit ke-76, setelah menerima hantaran
lintang Azaruddin sebelum menolak ke dalam gawang gol.
Oleh: BORHAN ABU SAMAH
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0404&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RRrCv8Gs
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan